Berita

Boikot PRK Port Dickson, bukti UMNO gila kuasa

Keputusan Barisan Nasional (BN) memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson menunjukkan sikap sebenar gabungan pembangkang itu yang hanya berjuang demi kuasa, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam wawancara bersama portal Malaysiakini.

Malah, beliau mendakwa keputusan tersebut juga dibuat kerana tahu mereka tidak akan menang, bukan kerana merasakan ia satu pembaziran.

“Sebagai politikus, adakala anda perlu berlawan walau tahu tidak akan berjaya, tetapi ia tentang perjuangan itu sendiri.

“Kerana jika anda tidak berjuang hanya kerana anda fikir akan kalah, maka DAP sepatutnya sudah lama berputus asa. Kami kalah teruk banyak kali tetapi kami tak pernah putus asa.

“Ini bermakna seluru perjuangan mereka (Umno dan BN) bukan kerana prinsip dan idealisme tetapi lebih kepada keuntungan, untuk kuasa,” katanya seperti dipetik Malaysiakini di Putrajaya, semalam.

Menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai contoh yang kembali ke arena politik dan bekerjasama dengan musuh lamanya untuk menyelamatkan Malaysia, Guan Eng berkata lebih baik gagal selepas mencuba berbanding gagal untuk mencuba.

“Sukar baginya untuk untuk sampai ke kesimpulan (Malaysia dalam bahaya di bawah BN) tetapi setelah itu, beliau tahu tiada pilihan lain, bahawa jika beliau tidak membuat usaha terakhir, beliau tidak akan memaafkan dirinya sendiri.

“Jadi walaupun mungkin gagal, sekurang-kurangnya beliau sudah mencuba,” katanya sambil berkata ia juga merupakan semangat yang dipegang Pakatan Harapan (PH).

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia akan “memboikot” PRK Port Dickson kerana merasakan ia (PRK) satu pembaziran dan dibuat untuk matlamat politik individu.

Naib Presiden Datuk Mohd Ammar Nik Abdullah sebelum ini berkata PRK itu “tidak perlu dilayan”.

“Jika BN pun tidak mahu meletakkan calon, kita bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim menanglah…Tetapi keputusan muktamad akan diputuskan menerusi mesyuarat parti,” katanya.

Setakat ini hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang bekas pemimpin MIC mengumumkan hasrat bertanding dalam PRK Port Dickson. – Roketkini.com