Berita

Penubuhan IPCMC mampu bersihkan imej polis – MP Kota Melaka

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Menurut Poay Tiong, penubuhan badan pemantau bebas itu dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap polis, selain mengurangkan penyalahgunaan kuasa oleh badan penguatkuasa tersebut.

“IPCMC tidah harus dilihat sebagai suatu serangan atau ketidakpercayaan terhadap pihak polis, tetapi sebaliknya merupakan suatu mekanisma untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap polis, dan untuk mengurangkan penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha DAP Melaka itu memetik kes pada 2014 di mana seorang suspek, Loh Kim Hiong ditembak mati selepas dikepung oleh sembilan anggota polis di Machap, Melaka.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap polis, selain mengurangkan penyalahgunaan kuasa oleh badan penguatkuasa tersebut.

Mahkamah Sesyen Melaka baru-baru ini memutuskan bahawa polis telah tersalah tembak suspek berdasarkan kenyataan saksi yang melihat suspek menyerah diri namun masih ditembak pihak berkuasa tersebut.

“Sesetengah kes menerima publisiti secara meluas, manakala sesetengah kes seperti kes Loh Kim Hiong, berlalu tanpa pengetahuan awam.

“Isu-isu ini bukan sesuatu perkara terpencil kerana amat berleluasa dan berlaku secara sistematik,” tegasnya yang turut memetik laporan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) 2016 bahawa terdapat 255 kes kematian dalam tahanan dari 2000 hingga 2014.

Justeru itu, kata Poay Tiong, penubuhan IPCMC dilihat sebagai satu pembaharuan penting bagi  meningkatkan akauntabiliti, semak dan imbang, serta akses kepada keadilan dalam kes penyalahgunaan kuasa oleh polis.

Dr Mahathir pada sidang akhbar semalam berkata, penubuhan IPCMC adalah sebagai usaha untuk membersihkan nama polis dan bagi membolehkan mereka mendapat keadilan yang sewajarnya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata penubuhan IPCMC dapat membersih imej polis.

“Penubuhan IPCMC merupakan usaha untuk membersihkan nama polis dan menentukan mereka juga mendapat layanan baik sebagai anggota polis dalam masa sama mereka perlu membersihkan diri.

“Selain itu, Biro Pengaduan Awam  akan digantikan dengan Ombudsman Malaysia di mana pengurusan aduan awam yang lebih efektif akan digubal di bawah Akta Ombudsman,” katanya.

IPCMC mesti ditubuhkan dengan berkesan

Mengulas lanjut, Poay Tiong berkata IPCMC harus ditubuhkan secara berkesan supaya tidak mengulangi kegagalan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang hanya berkuasa untuk membuat cadangan.

Katanya, IPCMC harus diberi kuasa untuk menerima, menyiasat aduan secara bebas, dan membuat syor serta tindakan yang terikat (binding).

Badan pemantau bebas itu juga, katanya, perlu dianggotai oleh pesuruhjaya yang bebas, mendapat kepercayaan awam, dan tidak mempunyai konflik kepentingan untuk memelihara kepentingan pihak polis atau kerajaan.

“Walaubagaimanapun, butiran-butiran dan mekanisme pelaksanaan IPCMC masih belum dimuktamadkan.

“Dalam hal ini, semua pihak – termasuk ahli-ahli Parlimen, anggota Kabinet, masyarakat sivil, pihak polis, dan rakyat – mesti memastikan IPCMC ditubuhkan secara betul dan berkesan.

“Jika tidak, kita akan mendapat sebuah lagi badan yang tidak berkesan, seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang hanya berkuasa untuk membuat cadangan,” ujarnya.

Butir-butir cadangan yang diutarakan oleh pihak berkepentingan berhubung pelaksanaan IPCMC itu, katanya lagi, perlu dibahaskan secara menyeluruh di Parlimen.

“Pendapat dan cadangan oleh pakar-pakar, NGO, dan pihak-pihak berkepentingan yang lain mesti dipertimbangkan,” ujarnya. – Roketkini.com