Rencana

Kit Siang gesa rakyat Malaysia bersama kerajaan perangi rasuah

Rakyat Malaysia melakar sejarah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018 dan ramai yang terharu kerana majoriti rakyat Malaysia, sama ada di dalam negara atau Diaspora Malaysia yang tersebar di seluruh dunia, tidak menjangkakan perubahan sedemikian mampu terjadi sepanjang hayat mereka.

Malaysia telah diberikan peluang kedua untuk menetapkan semula proses pembangunan negara kerana selama enam dekad lalu, kita telah kehilangan arah tuju, bukan sahaja tewas kepada negara-negara lain yang terkebelakang berbanding kita dalam indeks pembangunan negara yang berbeza, tetapi terperangkap dalam trajektori yang menyebabkan Malaysia menjadi negara yang gagal, demokrasi penyangak, kakistokrasi dan kleptokrasi global!

Rakyat Malaysia merungut betapa mundurnya China apabila mereka melawat negara itu pada 30 hingga 40 tahun lalu tetapi hari ini, China lebih maju dan terkedepan berbanding Malaysia dalam hampir setiap aspek pembinaan negara!

Pada masa awal pentadbiran negara, Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman membayangkan Malaysia menjadi “suar cahaya dalam dunia yang terganggu dan bingung”, namun kita tersasar daripada memenuhi wawasan Tunku – kita sebaliknya menjadi “lohong hitam” demokrasi penyangak, kakistokrasi dan kleptokrasi global.

Tidak banyak negara diberi peluang kedua untuk membuat perubahan dan menetapkan semula dasar pembangunan negara untuk mencapai visi asal semasa penubuhan negara.

Kita tidak boleh mensia-siakan “peluang kedua” yang ada untuk kita menjadikan Malaysia sebuah negara yang ulung, menjadi “suar cahaya dalam dunia yang terganggu dan bingung” – sebuah Malaysia Baharu dengan ciri-ciri perpaduan, demokrasi, kedaulatan undang-undang, kecemerlangan, keadilan dan kemakmuran yang hebat, di mana kita dapat memanfaatkan aset kepelbagaian kaum, agama, bahasa, budaya dan tamadun yang bertembung di Malaysia untuk membentuk asas bagi tamadun baru berdasarkan nilai dan aset terbaik tamadun dan agama dunia yang hebat.

Malaysia Baharu masih bergelut untuk dilahirkan, kerana kita hanya bermula mengorak langkah pertama pada 9 Mei 2018 untuk membina sebuah Malaysia Baharu, dan menggalas tugas ulung dan mulia yang akan mengambil masa satu atau dua dekad untuk dicapai.

Kita ingin merealisasikan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat, bukan sahaja pada 9 Mei, hari di mana kita berasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan memberikan harapan kepada dunia agar tidak berputus asa dalam menjadikan demokrasi sebagai tunjang kepada kerajaan, pada masa demokrasi sedang menghadapi krisis keyakinan di seluruh dunia.

Kita juga mahu menjadikan Malaysia sebuah negara ulung bertaraf dunia dalam bidang ikhtiar manusia.

Satu cabaran yang perlu segera dihadapi oleh Malaysia untuk menjadi negara ulung bertaraf dunia adalah untuk mengubah Malaysia daripada kleptokrasi global kepada negara terkemuka yang berintegriti dalam pendahulu lima peringkat teratas daripada 35 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI).

Bukan sahaja Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan, tetapi 30 juta rakyat Malaysia juga harus bersama-sama mengisytiharkan perang terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa dan apa jua bentuk penyelewengan.

Hari ini, Malaysia diletakkan di kedudukan ke-62 CPI TI 2017 dengan skor 47 daripada 100.

Skor CPI terbaik pernah dicapai oleh Malaysia pada tahun 1996 apabila kita mencatatkan 5.32 daripada 10 mata, dan kedudukan CPI terbaik kita adalah pada tahun 1995 ketika kita berada di kedudukan 23 daripada 41 negara.

Mengapa rekod integriti awam dan ketelusan kerajaan ​​Malaysia musnah semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Razak selama sembilan tahun sedangkan negara-negara lain seperti Indonesia dan China bertambah baik dengan pesat?

Hari ini, rekod integriti awam Malaysia telah dicemari bukan sahaja oleh skandal antarabangsa membabtikan 1MDB serta skandal pengubahan wang haram, tetapi juga terkesan dengan skandal lain seperti skandal rasuah dalam institusi kerajaan dan awam melibatkan Felda, Tabung Haji dan MARA.

Baru-baru ini, terdapat satu lagi aspek besar rasuah di Malaysia didedahkan, apabila peristiwa kemalangan helikopter yang meragut seorang pemimpin UMNO mendedahkan bahawa arwah meninggalkan harta pusaka bernilai RM2.1 bilion, yang merupakan subjek litigasi harta pusaka yang dituntut saudara-maranya.

Ini tidak mungkin hanya kejadian terpencil. Berapa ramai pemimpin UMNO yang mempunyai kekayaan berbilion-ringgit yang tersimpan tidak diketahui oleh orang ramai, kerana mereka layak menjadi antara orang Melayu dan rakyat Malaysia yang terkaya sekiranya rahsia mengenai harta tersebut diketahui.

Berapa ramai pemimpin UMNO/BN yang sebenarnya berstatus jutawan di Malaysia?

Kedudukan dan skor CPI TI Malaysia akan terus meningkat jika rasuah dan penyelewengan itu diketahui, oleh sebab itu, perlunya peperangan besar-besaran terhadap rasuah dalam Malaysia Baharu. – Roketkini.com

*Ucapan oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Merrin School, Avonhead, Christchurch, pada 7 petang Selasa, 25 September 2018.