Berita

Slogan ‘Sarawak untuk Sarawak’ tak sihat dalam Malaysia Baharu – Hannah Yeoh

Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga Hannah Yeoh menepis dakwaan yang menuduh beliau kononnya tidak menghormati kedaulatan Sarawak apabila mempertikaikan slogan “Sarawak untuk Sarawak” dalam sebuah forum yang diadakan di Kuching minggu lalu.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan bahawa perkara itu dibangkitkannya kerana merasakan sentimen tersebut tidak sesuai dalam semangat Malaysia Baharu yang memupuk perpaduan rakyat tanpa mengira wilayah, kaum dan agama.  

“Negara ini telah lama dipisahkan dengan isu perkauman dan agama dan hari ini timbul pula sentimen seperti Sarawak untuk orang Sarawak sahaja. Kita memerlukan Malaysia Baharu yang menyatukan kita semua.

“Media tempatan di Sarawak telah menyerang saya dengan mendakwa saya gagal menghormati Sarawak. Malangnya, serangan tersebut tersasar jauh dari kebenaran,” katanya.

Malah, tegas Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut, buat julung kalinya kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan telah mengiktiraf hak dan kedudukan Sarawak serta Sabah dalam Malaysia menerusi penguatkuasaan Perjanjian Malaysia 1963.

“Persekutuan Malaysia – adalah tiga wilayah yang membentuk sebuah negara. Jika kita benar-benar berhasrat mahu melihat ianya menjadi kenyataan dalam erti kata sebenar, maka setiap entiti dalam persekutuan ini harus memperlihatkan komitmen untuk menjayakannya.

“Sebarang sentimen atau retorik politik yang bertujuan mengasingkan antara satu entiti dan mengasingkan rakyatnya daripada sebuah negara yang lebih besar, slogan seperti Sarawak untuk orang Sarawak, Sabah untuk orang Sabah, atau Semenanjung Malaysia untuk pihak yang lain, bukanlah sesuatu yang sihat dalam pembinaan sesebuah negara,” ujarnya.

“Saya percaya, Malaysia Baharu yang kita kecapi hari ini memerlukan strategi baharu bagi memperbaiki masalah lampau dan mengulangi kaedah lama yang sama pastinya tidak akan menghasilkan keputusan yang berbeza,” tambahnya.

Hannah yang juga Naib Ketua Wanita DAP memberi ucapan pada forum bertajuk “Apakah peranan kita dalam Malaysia Baharu?” di Kuching, Sarawak pada 29 September lepas.

Dalam ucapannya, beliau menekankan mengenai isu masa depan anak muda Malaysia terutamanya melibatkan isu kanak-kanak.

Beliau turut bertemu pihak berkepentingan di Sarawak bagi membincangkan mengenai kaedah menangani isu perkahwinan kanak-kanak dan perkahwinan adat bagi memahaminya dengan lebih baik, di samping melibatkan diri dan mendapatkan maklum balas. – Roketkini.com