Berita

Sokongan Melayu terhadap HARAPAN semakin baik – Guan Eng

Pakatan Harapan semakin diterima oleh pengundi Melayu dan ini dapat dilihat menerusi prestasi gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurutnya, semasa Pakatan Rakyat mentadbir kerajaan negeri Pulau Pinang, ia hanya menerima kira-kira 30% undi kaum terbesar di Malaysia itu.

“Tetapi kini, kami mempunyai hampir 45 hingga 50% undi orang Melayu. Malah, kami menang di kerusi Umno yang kamu sendiri tidak terfikir kami boleh menang,” kata Guan Eng yang juga Menteri Kewangan dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Tambahnya, sokongan itu akan meningkat sekiranya kerajaan baharu menunjukkan prestasi yang cemerlang kepada rakyat dalam memajukan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Mengulas perkara lain, Guan Eng berkata, beliau tidak bimbang dengan usaha Umno yang dilihat mahu berbaik-baik dengan kepimpinan tertinggi HARAPAN bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Ini kerana, katanya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertegas menolak Umno.

Mengenai kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dilaporkan berkata tidak ada kerjasama dengan UMNO buat masa ini, meskipun tidak menolak ia mungkin berlaku pada masa akan datang, Guan Eng berkata Anwar hanya bergurau.

“Beliau beritahu saya yang beliau hanya bergurau. Beliau selalu mahu menceriakan suasana dengan jenaka. Saya ada beritahu beliau bahawa ia (jenaka) mungkin memberikan tanggapan yang salah dan beliau bersetuju dengan saya,” katanya. – Roketkini.com