Berita

Malaysia bukan lagi tong sampah negara maju, tegas Bee Yin

Kerajaan komited memastikan Malaysia tidak menjadi tong sampah plastik kepada negara maju, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin.

“Import bahan buangan plastik telah dibekukan, kilang kitar semula haram tidak lagi akan beroperasi… Pengendali kilang-kilang haram akan dihukum di bawah undang-undang Malaysia,” kata Yeo ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Bee Yin, kerajaan juga merancang untuk mengharamkan bahan plastik yang tidak boleh dikitar semula.

Malah, katanya, jawatankuasa bersama Kabinet bagi menentukan langkah seterusnya dalam mengelakkan negara lain menghantar barang plastik ke Malaysia ditubuhkan dan akan diketuai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Malaysia sebelum ini menjadi tempat untuk mengeksport bahan buangan plastik daripada New Zealand, Australia dan UK selepas China tidak lagi mengimport bahan plastik untuk kitar semula.

Ia menyebabkan lebih banyak kiang kitar semula haram dibuka.

Kementerian yang diterajui Yeo sebelum ini menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sifar penggunaan plastik menjelang 2030. – Roketkini.com