Rencana

Pemimpin DAP hanya akan terima anugerah, gelaran selepas bersara

Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Tindakan Demokratik (CEC), yang bermesyuarat pada Isnin 15 Oktober 2018 di Kuala Lumpur, memutuskan untuk mengulangi kata sepakat yang dicapai oleh CEC sejak sedekad lalu bahawa wakil rakyat DAP dan ahli majlis tempatan tidak akan menerima anugerah atau gelaran semasa tempoh aktif mereka berkhidmat dalam politik.

Wakil rakyat dan ahli majlis tempatan hanya akan menerima anugerah dan gelaran selepas mereka bersara daripada perkhidmatan.

Pengerusi DAP Melaka telah dimaklumkan dan diberitahu secara jelas tentang kata sepakat yang dicapai oleh CEC sejak sedekad lalu pada Julai lepas dan CEC memutuskan untuk menyatakan rasa tidak puas hati kerana tidak dirujuk berhubung tawaran anugerah dan gelaran tersebut.

Pemimpin-pemimpin DAP Sabah yang menerima anugerah dan gelaran juga telah dimaklumkan mengenai pendirian parti.

Oleh itu, CEC ingin menegur pemimpin DAP yang menafikan dan mendakwa tidak tahu tentang pendirian parti sejak sedekad lalu. Pemimpin yang cuba memberikan alasan untuk menerima anugerah tanpa memaklumkan atau menunggu arahan daripada kepimpinan parti akan dilihat sebagai tidak menghormati parti.

Sehubungan dengan resolusi CEC ini, surat makluman akan dikeluarkan kepada semua wakil rakyat dan ahli majlis tempatan bagi mengulangi semula pendirian parti DAP tentang penerimaan anugerah dan gelaran semasa tempoh perkhidmatan politik. Apa jua tawaran anugerah dan gelaran harus dirujuk kepada kepimpinan pusat DAP.

Pemimpin-pemimpin DAP terlibat dalam politik kerana mahu berkhidmat kepada rakyat dan bukannya untuk mengejar kemasyhuran atau gelaran atau kedudukan. DAP mengiktiraf pentingnya anugerah dan gelaran sebagai cara untuk menghargai sumbangan mereka yang menjadi tokoh ulung dalam masyarakat dan oleh itu menasihati wakil rakyat dan ahli majlis tempatan untuk menerima penghormatan ini selepas mereka bersara daripada perkhidmatan, mungkin selepas mereka telah menyumbang kepada masyarakat pada umumnya. – Roketkini.com

*Kenyataan media oleh Ketua Parlimen DAP dan Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook pada Selasa, 16 Oktober 2018 di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur.