Berita

Haramkan Grab: Kerajaan tidak tunduk desakan pemandu teksi

Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan tunduk dengan desakan pemandu teksi yang mahu perkhidmatan syarikat e-hailing seperti Grab diharamkan, tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Walaupun kerajaan peka dengan masalah yang dihadapi pemandu teksi, katanya, isu itu perlu dilihat secara menyeluruh daripada pelbagai perspektif termasuk penumpang.

Malah, katanya lagi, kementerian telah merangka formula menang-menang bagi memastikan kebajikan pemandu teksi dan pemandu yang menggunakan perkhidmatan syarikat e-panggilan terbela.

“Hala tuju kita, kita nak menggalakkan pemandu teksi guna aplikasi e-hailing, sama ada syarikat Grab atau syarikat-syarikat lain, bukan nak fokus kepada Grab saja, ada 20 hingga 30 syarikat e-hailing di negara ini, ada banyak lagi pilihan.

“Yang penting, kita nak yakinkan pemandu teksi, kalau kita tak gunakan aplikasi teknologi baharu, kita akan ketinggalan. Kita nak bantu, bukan nak memangsakan pemandu teksi, tapi kalau ikut permintaan sebahagian pemandu teksi yang mahu kerajaan haramkan e-hailing, haramkan Grab, maka pada hari yang sama orang ramai juga akan adakan demonstrasi membantah keputusan itu,” katanya seperti dilapor Bernama.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, kerajaan menetapkan had komisyen pemandu kereta persendirian yang boleh dikenakan syarikat e-panggilan diturunkan kepada 20% dan bukan lagi 25%, manakala bagi pemandu teksi pula ialah 10%. – Roketkini.com