Berita

Kerajaan PH perkenal Bantuan Sara Hidup, caruman KWSP suri rumah

Kerajaan akan memperkenakan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah mulai Januari 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000, RM2,001 hingga RM3,000, dan RM3,001 hingga RM4,000 masing-masing akan menerima bantuan sebanyak RM1,000, RM750, dan RM500.

“Selain itu, Kerajaan akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke 26 bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

“Sebagai contoh, sekiranya isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah dan mempunyai 4 orang anak, maka jumlah BSH yang akan diterima adalah sebanyak.

“RM1,480. Ini adalah lebih banyak daripada jumlah BR1M sedia ada sebanyak RM1,200,” ujarnya.

Menurutnya, dianggarkan sebanyak 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan dengan peruntukan RM5 bilion.

Tambah Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, kerajaan juga akan memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI di bawah program eKasih.

“Melalui skim ini, Kerajaan akan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai insentif kepada suami penyayang yang mencarum dengan kadar minimum RM5 sebulan kepada simpanan persaraan isteri,” katanya menambah sebanyak RM45 juta diperuntukkan untuk skim tersebut. – Roketkini.com