Rencana

Dasar ekonomi Najib tidak berempati

Empati sewajarnya dijadikan satu teras penting dalam dasar ekonomi; ini sangat praktikal dari segi politik dan ekonomi. Kita mesti sentiasa beringat bahawa semasa pilihanraya, undi seorang jutawan dan undi seorang rakyat marhaen mempunyai nilai yang sama.

Apabila kita meneliti legasi ekonomi yang ditinggalkan oleh mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak, amat jelas sekali kurangnya nilai empati. Kita perlu belajar daripada kegagalan ekonomi Najib jika kita mahu negara bergerak maju ke hadapan.

Pertama sekali, bagaimana Najib tewas?

Selain daripada rompakan perbendaharaan negara melalui 1MDB dan pelbagai skandal yang lain yang secara langsung telah menghilangkan keyakinan pengundi terhadap beliau, ketiadaan rasa empati terhadap kekangan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat turut menjadi faktor utama dalam kekalahan Barisan Nasional.

Dasar ekonomi negara mestilah menjamin keseimbangan antara kepentingan golongan kaya dan golongan rakyat biasa. Ekonomi negara kita akan berkembang dengan mampan hanya apabila rakyat biasa turut mampu berbelanja tanpa menanggung hutang isi rumah yang tinggi.

Sudah lama berlalu zaman Malaysia bergantung semata-mata atas pengindustrian berorientasikan eksport melalui pelaburan langsung asing; kebergantungan ini telah menyebabkan tahap gaji yang rendah terus kekal untuk menjamin daya saing negara berbanding dengan negara lain.

Sebaliknya, sejak tahun 1997, sepatutnya negara kita perlu menerajui ekonomi berlandaskan paradigma yang baru; kita perlu kurangkan kebergantungan kepada pekerja asing yang tidak berkemahiran, mengautomasikan industri supaya bergerak ke atas tangga teknologi (dengan itu mengurangkan keperluan untuk tenaga murah), dan seterusnya meningkatkan tahap gaji pekerja mahir.

Tanpa daya mengangkat ini, ada kemungkinan lebih ramai rakyat Malaysia perlu mencari rezeki di negara lain seperti Singapura, Australia, dan Korea Selatan. Sangat menarik untuk kita perhatikan bahawa, menurut Bank Negara, 40 peratus daripada pekerja Malaysia di Singapura terlibat dalam sektor pekerjaan 3D (dangerous, difficult and demeaning – berbahaya, sukar, dan merendahkan maruah). Perkara ini jelas menafikan sentimen bahawa pekerja dari Malaysia bersikap malas dan hanya mahukan pekerjaan yang senang; sebaliknya, soal tahap gaji dan penyaraan hidup menjadi faktor utama dalam keputusan mereka mencari peluang kerja di mana-mana sahaja.

Semua kekangan rakyat ini terlepas daripada pandangan Najib. Hakikatnya, dasar ekonomi Najib hanya berpandukan agensi penarafan dan pakar runding seperti Idris Jala yang tidak berpijak di bumi yang nyata bersama rakyat jelata. Apatah lagi, mereka kurang berminat untuk melaksanakan pembaharuan ekonomi secara meluas dan berani untuk melahirkan satu virtuous cycle ataupun kitaran mulia yang akan terus meningkatkan tahap gaji, tahap kemahiran pekerja serta kecanggihan teknologi Malaysia.

Satu-satunya dasar pekerjaan Najib adalah mengesyorkan graduan kita menjual nasi lemak atau menjadi pemandu Grab untuk menyara hidup.

Antara langkah kerajaan Najib yang kurang cermat ialah memperkenalkan Goods and Services Tax (GST – Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Enam bulan telah berlalu sejak pilihanraya pada bulan Mei, saya terkejut mengetahui masih ramai orang yang gagal memahami kenapa GST begitu dibenci.

Sudah tentu, GST bukan sebab tunggal yang menyebabkan kenaikan harga barang pasaran selepas tahun 2015. Antara faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan harga ini ialah susutan nilai Ringgit sebanyak 30 peratus mulai Oktober 2014 dan potongan peruntukan subsidi dan perbelanjaan kebajikan oleh kerajaan, di samping perompakan negara melalui 1MDB dan skandal lain.

Misalnya, Perbelanjaan Pembangunan yang dibawa oleh Najib telah dianggarkan berjumlah sekitar RM45 bilion tetapi perbelanjaan sebenar berjumlah kurang daripada RM40 bilion pada tahun 2014 dan 2015. Pada tahun 2016-2017, RM40 bilion telah dianggarkan, tetapi 25 peratus daripada jumlah ini telah digunakan oleh Jabatan Perdana Menteri terutamanya sebagai slush fund, iaitu sejenis dana untuk perbelanjaan mengikut budi bicara beliau dan untuk diberi kepada sesiapa yang dikehendaki oleh beliau.

Pembela GST menyatakan bahawa cukai tersebut telah meluaskan asas cukai kerana “hanya 11 peratus rakyat Malaysia membayar cukai langsung.” Mereka telah gagal memahami bahawa, di sebalik hujah tersebut, selain daripada segelintir yang mengelak cukai secara berjenayah, hampir 90% rakyat Malaysia yang lain tidak layak – erti kata lain, tidak menjana hasil yang mencukupi – untuk membayar cukai.

Pada tahun 2011, jawatankuasa belanjawan Pakatan Rakyat, termasuk saya sendiri, telah membawa hujah kepentingan golongan berpendapatan di persentil 60 kebawah perlu diberi lebih pendapatan boleh guna untuk berbelanja tanpa berhutang. Akan tetapi, kerajaan Najib telah mengambil penyelesaian mudah, iaitu memberi wang terus kepada 60 peratus daripada rakyat melalui skim BR1M dalam Belanjawan 2012.

Di sinilah wujud kontradiksi: walaupun sudah diketahui bahawa hampir dua pertiga daripada rakyat memerlukan bantuan sara hidup dan hanya 10 peratus daripada rakyat layak untuk membayar cukai langsung, cukai GST yang disanjung tinggi oleh pengikut Najib tetap diperkenalkan. Najib sendiri pernah menjawab soalan saya di Parlimen mengatakan GST akan menjadi “penyelamat” negara. Sukar bagi saya sehingga hari ini untuk percaya betapa berkhayalnya beliau.

Sejak 2013 lagi telah saya memberi amaran bahawa Barisan Nasional telah menggali kubur sendiri dengan memperkenalkan GST kerana cukai tersebut akan menyekat perbelanjaan yang merupakan daya penjana ekonomi yang utama. Malah, tindakan mengenakan cukai atas golongan yang memang belum layak membayar cukai seolah-olah membunuh diri secara politik.  

Sentimen anti-GST dalam kalangan pengundi bukan sahaja berkaitan semata-mata dengan isu cukai, malah turut berkaitan dengan pengurusan ekonomi Najib yang tidak berempati.

Penghapusan GST oleh kerajaan Pakatan Harapan merupakan tindakan yang betul dan perlu dilakukan. Cukai berbentuk regresif ini telah mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat.

Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan bahawa penghapusan GST tidak mencukupi untuk menurunkan harga barang secara mendadak dan serta-merta.  Pengembalian kepada sistem SST akan mengurangkan hasil kerajaan, ini bermakna ia mengutip kurang cukai daripada masyarakat dan akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Dalam konteks ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng atas kejayaannya membentang satu belanjawan yang “mengurangkan lemak, tetapi tidak menghilangkan otot.” Walaupun negara kita mengalami tekanan fiskal akibat daripada 1MDB dan hutang yang lain, saudara Lim dan kerajaan mengambil keputusan untuk mengelakkan dasar austerity ataupun dasar jimat cermat yang boleh menyebabkan ekonomi negara terhenti.

Pengumuman belanjawan yang lain seperti sokongan padu untuk pengangkutan awam (yang merupakan satu faktor pengurangan pendapatan boleh guna) dan pengiktirafan keperluan untuk meningkatkan gaji pekerja yang dalam jangka masa panjang akan meningkatkan hasil cukai kerajaan, serta penghapusan GST, merupakan petanda jelas bahawa kerajaan Pakatan Harapan memahami kepentingan adanya nilai empati dalam pengurusan ekonomi negara. Sudah terlalu lewat untuk Najib belajar tentang falsafah ini. – Roketkini.com

*Liew Chin Tong adalah Senator dan Timbalan Menteri Pertahanan