Berita

Insiden kuil USJ: Jangan menangguk di air keruh, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengingatkan ahli politik dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) negara ini supaya tidak mengambil kesempatan dalam insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman dekat Subang Jaya.

Tegasnya, kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika apa yang disuarakan mereka mengenai kejadian itu bersifat tidak benar dan mengancam ketenteraman awam.

“Kepada ahli politik serta pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan dan yang berkepentingan janganlah ada pula yang cuba menangguk di air keroh,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Kerajaan tidak berniat untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi jika apa yang disuarakan itu tidak benar dan mengancam ketenteraman awam, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.”

Dr Mahathir dalam pada itu turut mengingkatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan atau mengeluar kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

“Kita mahu perkara ini diserahkan kepada pihak berkuasa dan saya minta semua pihak, samada di dalam Dewan ini mahupun orang ramai supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan ataupun berkongsi apa-apa berita mengenai peristiwa itu kerana sekarang inipun sudah banyak berita palsu dan salah yang diedarkan,” ujarnya.

Beliau turut mengulangi bahawa insiden tersebut bukan isu perkauman atau agama, sebaliknya perbuatan jenayah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat memberikan kronologi insiden tersebut.

Menurut beliau, siasatan polis mendapati sekumpulan lelaki Melayu telah menceroboh masuk ke kawasan kuil atas arah beberapa individu yang bekerja dengan pemaju, One City Development Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik tapak kuil tersebut.

“Siasatan polis juga mendapati sejumlah RM150,000 telah dibayar kepada individu tertentu untuk melaksanakan kerja pengosongan kuil.

“Kumpulan lelaki Melayu berjumlah 50 orang yang menceroboh kuil pada malam kejadian didapati menerima bayaran antara RM150 dan RM300 seorang,” ujarnya.

Setakat ini, katanya polis telah menahan 30 individu yang terdiri daripada 24 orang Melayu, 2 orang India Muslim, 3 orang India dan seorang Cina.

“Semua mereka telah direman dengan tempoh reman yang berlainan, sementara 5 orang individu yang baru ditangkap semalam direman pada hari ini,” ujarnya. – Roketkini.com