Berita

DAP cadang wujudkan skim pencen, insuran untuk bela nasib bekas atlet

Kebajikan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Oleh itu, katanya, kerajaan Pakatan Harapan disarankan memperkenalkan skim pencen serta insuran kesihatan untuk semua bekas atlet kebangsaan mahupun negeri agar nasib mereka sentiasa terbela.

“Diakui, bahawa usaha sedemikian bukan mudah lebih-lebih lagi dalam kekangan kewangan semasa negara. Namun ia harus diberikan keutamaan oleh kerajaan pada masa akan datang.

“Apatah lagi, insentif sebegitu tentu akan menarik minat orang ramai untuk terlibat dalam bidang sukan sejak usia kecil kerana mereka yakin dengan bentuk jaminan yang ditawarkan setelah bersara,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keadaan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Pulau Pinang, Salahuddin Che Ros yang dilaporkan mengalami masalah kewangan sehingga terpaksa tidur di kaki lima bagi mendapatkan rawatan di Institusi Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Persatuan Bola Sepak Malaysia dan kerajaan negeri Pulau Pinang dilaporkan telah memulakan usaha untuk menghubungi dan membantu Salahuddin.

Ramkarpal dalam pada itu, turut meminta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyediakan bantuan kewangan sementara bagi meringankan beban Salahuddin.

“Ia adalah salah satu perkara yang sekurang-kurangnya boleh dilakukan kerajaan untuk menghargai sumbang beliau kepada negara,” ujarnya yang juga Biro Undang-Undang DAP. – Roketkini.com