Berita

Kaukus Parlimen pantau Lynas sambut baik pengumuman menteri

Jawatankuasa Kaukus Parlimen Pantau Lynas (JKPPL) menyambut baik pendirian Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) Yeo Bee Yin berkenaan pengurusan sisa buangan di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP)

Kenyataan berkenaan dikeluarkan hari ini di Parlimen susulan arahan Mestecc supaya LAMP menghantar balik sisa Water Leach Purification Sold Waste (WLP) yang bersifat radioaktif ke negara asal.

“Yang Berhormat Menteri juga menegaskan tiada lagi kajian dijalankan ke atas sisa WLP dan tiada lagi pengumpulan tanpa had sisa di LAMP,” katanya sambil menambah pengumuman tersebut selari dengan Manifesto Pakatan Harapan yang menjanjikan pembangunan lestari.

Dalam pada itu, JKPPL turut menzahirkan kekesalan apabila mendapati terdapat ketidakpatuhan beberapa logam berat di LAMP seperti yang didedahkan dalam laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP yang dikeluarkan Mestecc semalam.

Sebagai contoh, muka surat 80 hingga 82 laporan berkenaan mendedahkan tahap kepekatan sejenis logam berat, Nikel pada 15 Mac 2016, di stesen pemantauan GW13 mencecah 1,281 kali ganda melebihi nilai yang dibenarkan.

“Ini menunjukkan pencemaran terhadap air tanah yang membahayakan kepada komuniti-komuniti di sekitar LAMP memandangkan 12.5% isi rumah menggunakan air tanah sama ada sebagai telaga tiub atau telaga tali untuk kegunaan harian mereka, logam berat seperti Nikel boleh menyebabkan kanser,” ujarnya.

Kaukus tersebut juga akan terus meneliti laporan berkenaan dalam usaha memantau keselamatan operasi di LAMP.

“Dengan itu pihak kaukus menyokong keputusan Yang Berhormat Menteri Mestecc yang menunaikan janji mereka yang termaktub dalam surat (gambar bawah) “Undertaking” yang bertarikh 6hb Mac 2018 kepada Ketua Pengarah LPTA (Lembaga Pengurusan Tenaga Atom) yang memberikan komitmen untuk memulangkan sisa LAMP kembali ke tempat asal,” ujarnya.  – Roketkini.com