Rencana

Berhimpunlah kamu dalam Malaysia Baharu

Maka berakhirlah perhimpunan anti-ICERD yang dianjurkan oleh NGO-NGO dan disokong oleh 2 parti pembangkang paling besar di Malaysia. Perhimpunan jalanan pertama setelah terbentuknya Kerajaan baharu selepas 9 Mei 2018 telah berlangsung dengan jayanya.

Saya ada sedikit pengalaman sebagai peguam pemerhati semasa perhimpunan aman. Saya ingat lagi, bagaimana di hadapan mata saya seorang demonstran yang berlari, tersungkur dan kemudian ditahan beberapa anggota polis semasa Bersih 2.0.

Saya juga ada sedikit pengalaman sebagai peguam mereka yang ditahan polis semasa perhimpunan aman. Saya ingat lagi, menunggu di hadapan Pulapol selama berjam-jam, untuk dibenarkan masuk berjumpa tahanan-tahanan ketika  Bersih 3.0.

Saya juga ada sedikit pengalaman membawa kes di Mahkamah untuk menegakkan hak berhimpun dengan aman.

Dan saya sendiri juga pernah menjadi seorang demonstran dalam perhimpunan aman.

Oleh itu, apabila saya melihat gambar-gambar 70,000 hingga 80,000 demonstran membanjiri Kuala Lumpur pada hari ini, tanpa apa halangan atau sekatan, dan dibantu oleh pihak berkuasa sebagai pemudahcara, saya berasa amat puas hati.

Bukan sebab saya sokong perhimpunan anti-ICERD ini. Langsung tidak! Tetapi saya menghormati hak untuk berhimpun. Kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun dalam sejarah negara Malaysia ini, perhinpunan jalanan sentiasa dihalang. Hak yang termaktub, bagaikan ilusi.

Saya ingat lagi, himpunan-himpunan jalanan mega sebelum ini. Bagaimana rakyat dihalang masuk ke Dataran Merdeka. Bagaimana individu-individu tertentu  ditahan sebelum perhimpunan. Bagaimana amaran-amaran dikeluarkan dan demonstran ditomah dan dicerca.. Bagaimana gas pemedih mata dan meriam air jadi sajian.

Bagaimana para demonstran ditahan dan diangkut ke PULAPOL. Bagaimana mereka yang ditahan, dilanjutkan reman. Bagaimana mereka kemudian di dakwa di Mahkamah.

Ingat lagi roadblock yang dikenakan ke atas kenderaan-kenderaan yang  masuk ke dalam Kuala Lumpur?

Ingat lagi lagi bagaimana baju berwarna kuning diharamkan?

Ingat lagi 6 pemimpin PSM ditahan sebelum Bersih 2.0 di bawah Ordinan Darurat?

Ingat lagi Maria Chin Abdullah yang ditahan bawah SOSMA semasa Bersih 5?

Ingat lagi mahasiswa-mahasiwa yang dikenakan tindakan atas sebab menyertai ‘perhimpunan haram’?

Ingat lagi yang luka, yang rebah, yang naik dan turun Mahkamah?

Peristiwa-peristiwa ini, pengorbanan-pengorbanan ini, telah  menyumbang kepada apa yang berlaku pada hari ini.Kejayaan perhimpunan jalanan, tanpa ada sekatan, halangan atau tangkapan ini harus menjadi peringatan kepada kita tentang apa kita perjuangkan selama ini

Sebuah negara yang mana rakyatnya bebas mengamal hak dan kebebasan mereka. Sebuah negara yang kerajaannya bukan setakat membenarkan demonstrasi, membantu perjalanannya tetapi juga mengucapkan selamat maju jaya kepada demonstran.

Inilah semangat Malaysia Baharu.

Malaysia Baharu bukan bermakna yang menang boleh berdemonstrasi tanpa halangan.

Malaysia Baharu adalah negara di mana yang tidak menang dan yang menentang, boleh juga berdemonstrasi tanpa halangan. – Roketkini.com

*Syahredzan Johan adalah Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri.