Berita

Menteri sahkan akaun Tabung Haji bermasalah, kini diawasi Bank Negara

Tabung Haji (TH) melanggar dua syarat pembayaran hibah atau dividen sejak 2014, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.

Menurut beliau, pembayaran hibah hanya boleh dilakukan jika nilai aset tidak kurang daripada liabiliti dan mempunyai keuntungan yang boleh diagihkan.

“TH telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan ia tidak mengikut akta (Akta Tabung Haji 1995) kerana asetnya kurang daripada liabiliti,” katanya kepada pemberita selepas laporan kewangan TH dibentangkan di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Mujahid mendedahkan akaun TH pada 2017 yang menunjukkan institusi kewangan tersebut mempunyai aset sebanyak RM70.3 bilion dengan jumlah liabiliti berjumlah RM74.4 bilion.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pelan pemulihan TH berdasarkan keadaan semasa bagi mengembalikan semula keyakinan masyarakat terhadap institusi kewangan berkenaan.

“Berdasarkan keadaan semasa TH ketika ini, pelan pemulihan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi memulihkan penyata kira-kira TH.

“Inilah perkara sebenar yang dilakukan oleh ahli lembaga pengarah yang baharu,” ujarnya.

Pelan itu, katanya, termasuk cadangan penubuhan Special Purpose Vehicle (SPV) bagi mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset TH yang kurang menunjukkan prestasi.

“Kabinet telah berbincang tentang pelan pemulihan ini dengan teliti dan memberi sokongan penuh terhadap pelan tersebut supaya kedudukan kewangan TH dapat diperbaharui serta mengembalikan keyakinan rakyat.

“Bagi memastikan pelan jangka masa panjang yang mapan, kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan TH di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia secara pentadbiran bermula 1 Januari 2019,” katanya. – Roketkini.com