Berita

Dakwaan PAS terima RM90 juta dari Najib: Ya atau tidak, soal MP DAP

Tindakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang memutuskan untuk menyelesaikan kes samannya terhadap editor laman web pembocor maklumat Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah menimbulkan pelbagai persoalan.

Untuk rekod, saman berkenaan adalah berkenaan artikel yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai usaha menarik parti Islam itu menyokong BN dan UMNO.

“Selepas membelanjakan lebih RM2.5 juta untuk bayaran guaman dan perbicaraan ditetapkan pada April, tidak masuk akal untuk Hadi berputus asa terlalu mudah, lebih-lebih lagi apabila partinya dituduh menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri.

“Ia menimbulkan persoalan – adakah dakwaan dalam artikel itu benar belaka? Adakah Hadi dan pemimpin PAS lain berani memberi jawapan ringkas ‘Ya’ atau ‘Tidak’?

“Rakyat, pengundi di Kelantan dan Terengganu, ahli PAS, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu tahu,” ujar Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam kenyataan hari ini.

Setiausaha Politik kepada presiden PAS, Syahir Sulaiman semalam memaklumkan bahawa Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap Clare di luar mahkamah di London, United Kingdom.

Ini bermakna artikel yang diterbitkan di SR pada 6 Ogos 2016 berhubung dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada Najib adalah kekal.

Sebelum ini, PAS mengumpul RM400,000 daripada ahlinya selepas merayu kepada mereka untuk membantu parti itu bagi menampung kos guaman.

“Adakah Hadi akan menyumbangkan wang itu, jika masih berbaki, kepada mereka yang memerlukan di dua negeri yang ditadbirnya, Kelantan dan Terengganu? Dari segi moral, tidak betul untuk parti itu menyimpan wang itu untuk mereka sendiri,” soal Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan. – Roketkini.com