Budaya

Persoal kelayakan Menteri Kewangan bukti MCA ketandusan idea, kata Tony Pua

Lim Guan Eng tidak teragak-agak untuk mengemukakan saman fitnah terhadap Presiden MCA, Wee Ka Siong dan media jika terus-menerus mempersoalkan kelayakan Menteri Kewangan itu sebagai akauntan profesional bertauliah.

Ka Siong menerusi akhbar The Star milik partinya, semalam, mempersoalkan bagaimana Guan Eng berjaya menjadi akauntan profesio­nal bertauliah setahun sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Monash.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai dangkal dan ketandusan idea, Setiausaha Politik Menteri Kewangan Tony Pua, menjelaskan bahawa kalendar pengajian di Australia berakhir pada November.

Tambahnya, Guan Eng sudah lulus semua peperiksaan berkaitan pada akhir 1983, yang membolehkannya mendapat ijazah dan kelayakan menjadi akauntan.

“Untuk pengetahuan Wee, Lim menerima Sijil Keahlian Persatuan Akauntan Australia selepas tiga bulan lulus peperiksaan pada 21 Februari 1984. Keahlian beliau diperolehi sebelum beliau menerima sijil ijazah pada 11 April 1984.

“Pemegang PhD seperti Dr Wee sepatutnya boleh membezakan antara seseorang yang sudah bergraduasi daripada universiti, dengan tempoh menerima sijil rasmi yang boleh dikeluarkan selepas enam bulan atau setahun.

“Selain itu, memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi tidak bererti Guan Eng tidak belajar subjek akauntan atau tidak layak menjadi ahli Persatuan Akauntan Australia, kerana setiap universiti ada cara sendiri untuk menamakan program ijazah masing-masing.

“Sebagai contoh, universiti Oxbridge (Oxford dan Cambridge) hanya menggunakan ijazah Sarjana Muda Sastera kepada mahasiswanya, tanpa mengira subjek yang dipelajari,” katanya pada sidang media.

Tony dalam pada itu turut memulangkan paku buah keras kepada Kia Song dengan meminta pemimpin MCA itu agar bersikap telus berhubung dakwaan partinya ada menerima dana 1MDB daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tolong jelaskan dan jangan berdiam diri. Adakah akhbar pro-BN bersedia untuk mendesak agar Dr Wee menjelaskan perkara itu?

“Tolong jangan mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada isu yang paling penting iaitu skandal 1MDB berjumlah RM50 bilion dengan membuat serangan peribadi berniat jahat dan tidak berasas terhadap Menteri Kewangan,” tegasnya. – Roketkini.com