Rencana

PAS perlu henti sebar fitnah demi raih undi

PAS sewajarnya insaf daripada meneruskan aktiviti menyebar fitnah dan berita palsu yang menyasarkan kerajaan persekutuan.

Baru-baru ini, sebuah artikel berunsur fitnah yang tersiar di laman web Malaysia Today bertajuk ‘Guan Eng akan bunuh perniagaan Melayu’ telah dikongsi Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff di media sosial.

Meski beliau kemudian memadam perkongsian tersebut, jelas sekali wujud usaha terancang bagi mewujudkan persepsi bahawa parti DAP adalah anti-Islam dan Melayu. Usaha ini berikutan kerjasama batil antara PAS dan UMNO untuk terus menerus menyasarkan DAP sebagai momok dalam kalangan umat Melayu demi kepentingan politik.

Di saat negara sedang memberi tumpuan kepada skandal-skandal UMNO berkait Tabung Haji, UMNO-PAS cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan pelbagai fitnah waima berkaitan hal ehwal ibadah umat Islam sekalipun. Pastinya ini bertujuan untuk menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap DAP, kononnya mencampuri urusan agama Islam.

Hakikatnya, Kementerian Kewangan yang diterajui Setiausaha Agung DAP, Lim  Guan Eng langsung tidak pernah membuat dasar seperti yang dituduh dalam fitnah UMNO-PAS tersebut.

Saya menasihati PAS agar membuat kritikan terhadap dasar dan polisi kerajaan dengan cara yang lebih terhormat. Sebagai pembangkang di zaman Malaysia Baharu, mereka seharusnya tidak perlu lagi bergantung kepada usaha menyebar fitnah demi meraih sokongan. – Roketkini.com

Steven Sim adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang