Berita

Kit Siang bidas ‘bohong patuh syariah’

Politik serta hal ehwal semasa negara telah dicemari dengan pembohongan dan fitnah, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Katanya, ia didasari dengan istilah “pembohongan patuh syariah” bagi menjustifikasi tindakan pembohongan dan fitnah tersebut.

“Adakah pembohongan, seperti kisah rekaan terbaharu bahawa kononnya terdapat usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi undi tidak percaya oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan dalam sidang Parlimen akan datang, merupakan pembohongan patuh syariah?” soalnya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan PAS bahawa kononnya terdapat usaha parti komponen Pakatan Harapan untuk menolak kepimpinan Dr Mahathir.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak pembohongan tersebut dan menyifatkan ia sebagai helah PAS untuk menutup isu RM90 juta.

Beliau berkata, terdapat juga pihak yang menyebarkan senarai 101 anggota Parlimen yang kononnya telah bersedia untuk mengundi menolak Mahathir daripada pelbagai negeri.

“Adakah ini juga merupakan pembohongan patuh syariah?” solanya lagi. – Roketkini.com