Rencana

Menjadi juara di luar gelanggang

Pada hemat saya, penceritaan sukan di Malaysia tidak lengkap. Atau sekurang-kurangnya tidak diceritakan habis-habis.

Saya dan Saudara Syed Saddiq mengambil alih teraju Kementerian Belia dan Sukan pada bulan Julai 2018, di ambang persembahan mengecewakan di Sukan Komanwel 2018, Gold Coast Australia. Kontinjen negara tidak berjaya mencapai sasaran ‘top ten’ yang telah ditetapkan.

Jika kisah sukan kita sekadar berakhir di podium, memang senang untuk menyalahkan atlet-atlet atau jurulatih, malah pihak kerajaan sendiri atas kegagalan dalam acara sukan.

Namun sepanjang lapan purnama yang lalu, saya semakin banyak belajar tentang pengkisahan sukan yang begitu menakjubkan, kepelbagaian watak di dalamnya, serta pencapaian mereka yang sungguh luarbiasa.

Cuba kita fikirkan tentang Dr Yeo Wee Kian, saintis di Institut Sukan Negara (ISN) yang telah menjalankan begitu banyak penyelidikan tentang sindrom metabolik dan penuaan sihat dengan mengkaji bagaimana untuk mempertingkat prestasi atlet di lapangan. Beberapa potensi dari hasil kerja Dr Yeo termasuklah senaman dan strategi untuk menyembuhkan penentangan insulin, diabetes dan juga kanser.

Atau bertemu dengan Dr Rebecca Wong, pakar psikologi di ISN. Beliau telah menghasilkan suatu cara untuk menilai tahap tumpuan mental para atlet. Melalui penilaian ringkas, beliau mampu memberi nasihat kepada atlet dan jurulatih tentang tumpuan optima mereka menjelang sesuatu kejohanan. Saya juga tertarik dengan cara beliau berinovasi dan menggabungkan terapi pasangan untuk membina hubungan dan komunikasi yang baik antara beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang berjaya meraih pingat perak dan Sukan Olimpik 2016. Penemuan daripada adaptasi begini akan dapat menambahbaik terapi pasangan sedia ada.

Jurutera bio-mekanikal kita, Encik Yuvaraj yang baru sahaja menyelesaikan kajian peringkat sarjana beliau di Universiti Malaya telah berjaya mengenalpasti perkiraan saintifik dan faktor yang menghasilkan pukulan ‘smash’ yang paling berkesan oleh seorang atlet badminton. Usaha seperti yang dijalankan oleh beliau dan pasukannya untuk memahami bio-mekanik – bagaimana tulang, otot, ligamen dan rawan bekerjasama – bagi mengoptimumkan pergerakan atlet boleh menyumbang kepada kajian memperbaiki pergerakan warga berusia dan juga mereka yang kurang upaya.

Para pakar pemakanan yang membantu atlet dalam program pelarasan berat badan menggunakan kaedah saintifik untuk menghasilkan penambahan atau pengurangan berat badan tanpa memberi kesan buruk kepada kesihatan terutamanya kondisi otot. Fikirkan tentang potensi program sebegini dalam sebuah negara yang separuh populasinya mengalami obesiti ekoran lemahnya pemahaman tentang nutrisi. Kalau tanya saya, saya tidak melihat kenapa agensi seperti ISN tidak boleh bekerjasama dengan rangkaian fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara untuk menyediakan program pengurusan berat badan secara percuma atau kos-rendah kepada orang awam.

Pasukan doktor dan pakar terapi termasuk Puan Faezah, ketua fisioterapi, yang selalunya bekerja diam-diam di sebalik wira-wira negara, sentiasa meneroka kaedah-kaedah pemulihan terbaik untuk atlet yang mengalami kecederaan. Hasil kerja mereka membantu kita untuk memahami proses kesembuhan dengan lebih baik dan sangat berguna untuk memajukan bidang sains perubatan.

Para teknologis di belakang para atlet mahu memperbaiki prestasi melalui penyelidikan dan pembangunan yang paling canggih yang akhirnya menghasilkan teknologi untuk kegunaan di luar bidang sukan. Seperti minyak enjin yang dicipta oleh Petronas ekoran penglibatan syarikat tersebut dalam perlumbaan F1.

Sudah menjadi adat bagi Kementerian Belia dan Sukan untuk menerima peruntukan paling sedikit, tidak kira dalam kerajaan baharu atau lama. Saya percaya salah satu sebabnya ialah kerana kita tidak bercerita habis-habisan tentang sukan. Jika sukan adalah sekadar pingat emas Olimpik, masyarakat tidak akan teruja untuk menambah perbelanjaan wang cukai mereka.

Kementerian Belia dan Sukan mahu bercerita tentang sukan secara berbeza mulai hari ini. Ya, memang sentiasa ada nilai-nilai yang tidak dapat ditanggapi dalam sukan – ia merupakan platform perpaduan terutamanya untuk sebuah masyarakat yang begitu majmuk seperti Malaysia – namun kita juga mahu menguar-uarkan nilai-nilai dan hasil yang boleh dilihat mata, hasil pelaburan kita dalam bidang sukan.

Jika kementerian boleh menunjukkan bahawa bagi setiap ringgit yang dibelanjakan untuk sukan, kita dapat mengurangkan perbelanjaan untuk hospital sebanyak x%, atau kita mampu mengurangkan perbelanjaan untuk penahara; jika kita boleh buktikan bahawa seluruh usaha yang digarap untuk menghasilkan seorang atlet Olimpik boleh memberi manfaat kepada rakyat terbanyak – daripada penyelidikan mengenai diabetes dan kanser hingga memulihkan pergerakan dan dayatahan minda serta banyak lagi; jika kita boleh memberikan penceritaan lengkap tentang sukan, saya percaya bukan sahaja minat terhadap sukan boleh ditambah, malah merevolusi cara fikir dan cara buat kita terhadap sukan di masa akan datang. – Roketkini.com

*Steven Sim adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan