Rencana

Seimbang untuk sejahtera

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasanya) sedikitpun. (Sura An-Nisa 124)

Hari Wanita disambut setiap tahun pada bulan Mac sejak tahun 1962 untuk mengingatkan seluruh dunia tentang masalah ketidakseimbangan jantina di antara kaum lelaki dan kaum wanita.

Balance for better atau Seimbang Untuk Sejahtera adalah tema hari wanita sedunia yang disambut pada 8 Mac 2019 ini.

Secara kolektif kita boleh memainkan peranan untuk mengimbangkan kerjaya, diberikan ruang dan peluang menceburi bidang yang diminati tanpa diskrimasi jantina.

Di Malaysia tenaga kerja wanita amat diperlukan bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam pasaran seterusnya menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Hal ini selaras dengan hasrat negara ke arah status negara maju menjelang tahun 2020. Bagi mencapai hasrat tersebut, pelbagai strategi dan perancangan telah dilakukan oleh kerajaan antaranya menggalakkan penyertaan wanita dalam pekerjaan.

Seimbang dalam politk, wanita juga boleh menjadi pemimpin yang berwibawa. Penyertaan wanita sebanyak 30% di dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menunjukkan bahawa wanita juga boleh memimpin.

Dalam negara yang semakin maju, peranan wanita dalam pembangunan negara menjadi semakin penting.

Perubahan sosioekonomi yang berlaku dalam negara sejak mencapai kemerdekaan telah membuka peluang pekerjaan yang banyak untuk wanita. Sebahagian besar wanita pada hari ini terlibat dengan pelbagai pekerjaan di luar rumah.

Peranan mereka tidak lagi terhad sebagai ibu mahupun isteri tetapi juga berperanan dalam pelbagai aktiviti pekerjaan di luar sama ada aktiviti ekonomi tidak formal hinggalah kepada bidang profesional.

Di bawah pelan tindakan ekonomi baharu, Rancangan Malaysia Ke-11, Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menambah kadar penglibatan tenaga kerja wanita daripada 54 peratus kepada 59 peratus menjelang tahun 2020.

Wanita juga mempunyai peranan yang besar dalam sejarah Islam. Sejarah kegemilangan umat Islam telah memperlihatkan bahawa golongan wanita mempunyai kedudukan yang begitu mulia dan penting dalam masyarakat.

Wanita dan lelaki masing-masing mempunyai tanggungjawab yang perlu disempurnakan di depan Allah sama ada hal berkaitan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat, dan haji ataupun ibadat umum seperti bercakap benar, berbaik sangka dan sebagainya. Hak ini jelas berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

‘Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia (baik lelaki dan wanita), kecuali mereka hanya beribadah kepada-Ku’ (Al-Quran, al-Zariyat: 56).

Sebelum kedatangan Islam, kaum wanita dipandang hina. Mereka tidak diberikan kedudukan yang istimewa dalam keluarga dan masyarakat seperti kaum lelaki.

Kedatangan Islam telah mengubah status dan kedudukan wanita. Islam telah menggangkat martabat wanita dengan memberikan beberapa peranan yang penting bersesuaian dengan fizikal dan kekuatan yang ada pada mereka.

Wanita mempunyai peranan yang sangat ketara dalam membentuk masa depan keluarga sekaligus masa depan negara.

Hari Wanita Sedunia yang diraikan pada 8 Mac adalah tanda pengiktirafan terhadap sumbangan, komitmen, dan pencapaian wanita sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara. – Roketkini.com

*Siti Nur Shazreen Binti Mohamad Jilani adalah Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Belia Dan Sukan.