Berita

Isu Taman Manggis selesai, rundingan berjaya

Rundingan antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan tiga pihak yang berkhemah selama beberapa hari di lobi Komtar ekoran hilang kelayakan menghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) akhirnya membuahkan hasil.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, dua dari mereka bersetuju menerima tawaran kerajaan negeri untuk memiliki rumah kos rendah menerusi Skim Sewa Beli.

Sementara baki satu lagi pihak bersetuju untuk membeli rumah kos sederhana rendah di Daerah Timur Laut, tanpa melalui skim sewa beli, tambahnya.

“Sebagaimana yang telah saya katakan sebelum ini, mereka yang hilang kelayakan untuk PPR bukan bermakna mereka hilang kelayakan untuk kategori (perumahan) yang lain.

“Apa yang berlaku, kita telah berbincang dengan beberapa penghuni yang berada di Komtar sehingga semalam, saya gembira untuk mengumumkan akhirnya mereka telah bersetuju menerima tawaran.

“Iaitu, dua (pihak) menerima tawaran rumah kos rendah melalui Skim Sewa Beli iaitu harga rumah pada RM42,000, dan Kerajaan Negeri tidak akan mengenakan satu sen pun kadar faedah atas harga ini, yang mana tempoh sewa beli adalah 20 tahun.

“Dalam tempoh 20 tahun itu, ada ansuran bulanan iaitu RM175 dan bayaran penyelenggaraan iaitu RM58.30, yang membawa kepada jumlah besar bulanan RM233.30.

“Selepas tempoh 20 tahun itu, mereka akan menjadi pemilik (rumah kos rendah itu),” katanya pada sidang media yang turut disertai Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Komtar, semalam.

Sementara itu Chow turut menzahirkan rasa gembira atas kejayaan rundingan tersebut, sambil menambah yang hasil keputusan itu akan membolehkan kerajaan negeri menawarkan unit PPR kepada pihak yang telah sekian lama menunggu.

22 pihak sebelum ini hilang kelayakan untuk menghuni PPR Taman Manggis, sementara 11 daripada mereka telah menyerah unit kediaman masing-masing secara sukarela kepada Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. – Roketkini.com