Berita

Kenyataan Chong Sin bukan pendirian DAP

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong hari ini menegaskan bahawa kenyataan Adun Mengkibol, Chew Chong Sin berhubung tragedi serangan keganasan yang mengorbankan puluhan umat Islam di Christchurch, New Zealand bukan pendirian parti.

Sebaliknya, menurut Chin Tong, DAP mengambil pendirian Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng yang mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai “bukan hanya satu jenayah ke atas komuniti Muslim di Christchurch, tetapi satu jenayah ke atas kemanusiaan”.

“Walaupun Chew telah menarik balik dan memohon maaf sebanyak tiga kali, saya mengakui kenyataan tersebut memberi kesan serius.

“Nasi sudah menjadi bubur dan saya menegur sikap beliau yang tidak sensitif. Parti amat memandang serius insiden ini,” kata Chin Tong dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan turut mengulangi bahawa “apa yang berlaku di Christchurch adalah perbuatan pengganas dan DAP mengecamnya”. – Roketkini.com