Berita

Kenyataan keterlaluan berupa ancaman perlu dikekang

Pihak berkuasa digesa memandang serius dan segera mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin yang dilihat mengeluarkan kenyataan ekstrem berupa ancaman.

Jika tidak dikekang, menurut Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, ia akan mengalakkan pihak lain untuk mengeluarkan kenyataan yang sama di masa akan datang.

Beliau mengulas kenyataan keterlaluan bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii yang dilihat cuba mengancam keselamatan ahli DAP.

“Amat tidak wajar jika ada pemimpin politik menggunakan kata-kata ugutan terhadap orang lain tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Tidak ada seorang pun, termasuk Razlan, yang boleh mengatasi undang-undang.”

Razlan membuat hantaran berbunyi “elok ditembak puak-puak DAP” di akaun Twitter miliknya pada 15 Mac lalu.

Pakatan Harapan Kampar awal hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Razlan berhubung kenyataan tersebut.

“Kami menggesa PDRM supaya segera menyiasat Razlan Rafii kerana twit tersebut bukan sahaja menyebarkan kebencian ia juga boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

“Selain itu ugutan bunuh itu juga akan mengancam keselamatan diri ahli-ahli DAP,” kata PH Kampar dalam kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman menggesa pihak polis menyiasat Razlan berhubung hantaran berkenaan.

“Mohon PDRM siasat. Tidak melambangkan seorang pemimpin Umno.

“Perbezaan pendapat itu biasa, jangan sampai keterlaluan,” katanya. – Roketkini.com