Rencana

Pemukiman Kepimpinan DAP Kebangsaan bincang isu rakyat

Parti Tindakan Demokratik telah menutup Majlis Pemukiman Kepimpinan Kebangsaannya yang bertempat di Hotel Saujana, Subang, semalam.

Majlis yang berlangsung selama tiga hari dari 15 Mac hingga 17 Mac telah dihadiri oleh Kepimpinan Pusat dan Negeri parti, wakil-wakil daripada sayap pemuda (DAPSY) dan Wanita DAP, 42 Ahli Parlimen, 6 Senator, dan 102 Ahli Dewan Undangan Negeri. Tujuan Pemukiman diadakan adalah untuk membincangkan isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh parti.

Tema bagi pemukiman kali ini adalah “Malaysia Baharu: Kukuhkan Parti Kuatkan Kerajaan”.

Sejak membentuk kerajaan persekutuan Pakatan Harapan sebagai salah satu parti komponen pada 9 Mei 2018, harapan yang diletakkan oleh ahli-ahli dan penyokong parti telah meningkat secara mendadak. Cabaran dalam memenuhi harapan dan kehendak rakyat telah dibincangkan secara mendalam sepanjang perjalanan majlis ini.

Majlis pemukiman dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Setiausaha Agung Parti Saudara Lim Guan Eng. Saudara Guan Eng menegaskan bahawa Malaysia Baharu mestilah komited kepada agenda untuk meningkatkan kemakmuran bersama semua rakyat Malaysia, bebas daripada rasuah, untuk menjadi kerajaan yang berpaksikan rakyat yang berteraskan konsep peraturan perundangan, dan menghormati alam sekitar.

Di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan, semua rakyat Malaysia, akan menikmati manfaat akses kepada pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji yang lebih baik, pendidikan yang berkualiti tinggi, sistem kebajikan sosial yang lebih holistik dan menyeluruh, dan peluang perniagaan yang lebih baik dalam pasaran yang terbuka dan telus.

Sejak mengambil-alih tampuk pemerintahan yang dicemari kleptokrasi dan rasuah, Sdr Guan Eng menegaskan bahawa Pakatan Harapan perlu bekerja keras bagi menyelesaikan segala masalah yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional. Termasuk kerja-kerja mengurustadbir hutang negara dan mengambil tindakan yang sepatutnya bagi memperbetulkan situasi kewangan negara.

Matlamat utama kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk mengembalikan kedudukan ekonomi negara ke haluan yang betul supaya kemakmuran dapat dinikmati oleh segenap rakyat Malaysia. Perkara ini dapat dicapai melalui tumpuan yang seimbang terhadap keusahawanan yang innovatif dan bantuan kebajikan sosial kepada yang memerlukan.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran sebagai kerajaan yang baru, Parti DAP kekal dengan semangat juangnya dan komited dalam melaksanakan perubahan yang telah dijanjikan di dalam pilihanraya umum yang lepas. Memenuhi janji yang dinyatakan didalam manifesto PH haruslah menjadi fokus utama parti dan kerajaan bagi 4 tahun yang akan datang.

Para hadirin juga telah membincangkan isu-isu berkaitan dengan cadangan pindaan perlembagaan parti untuk dibentangkan didalam Persidangan Parti yang akan berlangsung Mei depan. Tambahan lagi, panduan kod etika dan integriti bagi pimpinan dan ahli-ahli parti juga telah dibincangkan.

Dua tetamu khas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah turut serta memeriahkan majlis. Kehadiran mereka memberikan peluang untuk pimpinan parti berdialog mengenai halatuju dan polisi-polisi Pakatan Harapan.

DAP juga menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-53 di dalam majlis pemukiman ini. Parti Tindakan Demokratik ditubuhkan pada 18 Mac 1966, parti yang menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan, berteraskan perjuangan untuk negara Malaysia yang bebas, adil, dan demokratik, berteraskan prinsip kebebasan, kesaksamaan peluang, keadilan sosial, hak asasi manusia, dan berpaksikan institusi demokrasi berparlimen. – Roketkini.com

*Kenyataan Media oleh Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong pada 18 Mac 2019 di Kuala Lumpur