Berita

Anthony Loke hulur sumbangan pada keluarga mangsa rempuhan pesawat

Kesedihan keluarga Allahyarham Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, yang terkorban semasa bertugas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang minggu lalu sedikit terubat dengan bantuan yang dihulurkan seorang pemimpin DAP.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban menyumbang sejumlah RM10,000 daripada peruntukan pejabatnya bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Sumbangan itu disampaikan dalam ziarah Anthony yang juga Menteri Pengangkutan bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) ke rumah keluarga mangsa, semalam.

“Selain itu, saya telah berbincang dengan pengurusan MAHB untuk memastikan kebajikan mereka terjamin termasuk keperluan perumahan dan menawarkan peluang pekerjaan kepada isteri Allahyarham,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Pagi tadi bersama CEO MAHB, saya telah melawat keluarga Allahyarham Mohd Ruzaimi yang terkorban semasa bertugas dalam…

Anthony Loke Siew Fookさんの投稿 2019年3月24日日曜日

Beliau turut memaklumkan kepada isteri mangsa bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan dan laporan awal akan disiapkan dalam masa terdekat.

Jenazah juruteknik MAHB, Mohd Ruzaimi, 39, yang meninggal dunia akibat dilanggar sebuah pesawat persendirian selamat dikebumikan pada 20 Mac lalu di Batu Gajah.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah Md. Usuf dan empat anak berusia dalam lingkungan satu hingga 13 tahun. – Roketkini.com