Berita

Isi minyak percuma untuk penunggang motosikal di Kepong hari ini

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan Ketua Penaja Amanah Kepong, Mohd Noor Ali Bakar akan menganjurkan program isi minyak percuma untuk penunggang motosikal di Stesen Minyak Caltex di Batu 8 Jalan Kepong, bermula 12 tengah hari hingga empat petang, hari ini.

Menurut Lip Eng, program itu diadakan sebagai usaha menghargai penduduk di sekitar kawasan itu untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidil Fitri beberapa hari lagi.

Sementara itu, Mohd Noor dipetik sebagai berkata oleh Bernama, bahawa program isi minyak percuma itu terhad kepada motosikal di bawah 150cc sahaja.

“Program ini kita lebih fokus kepada golongan B40 sebagai tanda terima kasih menjadi masyarakat Kepong dan kita berharap pemberian minyak petrol ini dapat meringankan beban mereka dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Syawal,” beliau dipetik sebagai berkata oleh agensi berita nasional itu.

Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan sebelum ini telah melaksanakan program sama di lokasi sama untuk penghantar makanan bermotorsikal di sekitar Kepong. – Roketkini.com