Berita

Tragedi suku Bateq: Kit Siang gesa rangka hala tuju, dasar baharu tingkatkan kehidupan Orang Asli

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini menzahirkan rasa dukacita di atas kematian 14 Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh dekat Gua Musang, Kelantan, dipercayai kerana terkena wabak.

Menurut beliau, tragedi itu membuktikan kegagalan dasar pembangunan Orang Asli dan Orang Asal selama enam dekad yang dirangka kerajaan sebelum ini.

Tambahnya, kegagalan itu juga menyebabkan pelbagai tragedi lain yang melibatkan masyarakat Orang Asli antaranya kematian lima pelajar SK Tohol Gua Musang pada 2015 dan tragedi Kam Agong di Long Semadoh dekat Lawas Sarawak, 17 tahun lalu.

Justeru itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri menggesa pihak berkaitan agar merangka hala tuju dan dasar baharu bagi memastikan nasib Orang Asli dan Orang Asal negara ini terbela.

“Pada April tahun ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Konvensyen ‘Memartabatkan Hak Orang Asli’ di Putrajaya.

“Tragedi Bateq merupakan satu peringatan terhadap penganjur konvensyen tersebut mengenai perlunya tindakan segera dari pihak berkuasa untuk merangka hala tuju dan dasar baharu untuk meningkatkan kehidupan masyarakat Orang Asli dan Orang Asal negara ini, supaya tragedi Bateq, tragedi SK Tohol di Gua Musang dan tragedi Kam Agong di Lawas tidak berulang lagi.

“Adakah Kerajaan Persekutuan akan memaklumkan Ahli Parlimen tentang hala tuju dan dasar baharu untuk meningkatkan kehidupan Orang Asli dan Orang Asli dalam sidang Parlimen pada Julai nanti?” katanya dalam kenyataan.

Beliau dalam pada itu, turut menempelak sikap cuai serta lembab Kerajaan Negeri Kelantan dalam mengesan tragedi yang menimpa masyarakat Orang Asli suku Bateq tersebut.

“Amat mengejutkan… mereka (Kerajaan Negeri Kelantan) tidak menyedari tragedi Bateq yang meragut 14 nyawa selepas lebih sebulan tragedi itu berlaku apabila Senator Amanah Husam Musa membangkitkan perkara itu pada 8 Jun, ketika empat kematian berlaku pada 10 hari pertama bulan Mei, dengan kematian pertama berlaku pada 2 Mei.

“Tujuh kematian lagi berlaku sepanjang 21 hari dalam bulan Mei. Mengapa pihak berkuasa, terutamanya Kerajaan Negeri Kelantan, begitu cuai dan lalai seolah-olah terputus hubungan dengan suku Bateq di Kg Kuala Koh sehingga mereka tidak menyedari tentang wabak yang meragut 11 nyawa pada Mei lalu?” soalnya. – Roketkini.com