Rencana

DAPSY puji Maszlee buka tawaran matrikulasi pada pelajar cemerlang B40

Keputusan Kementerian Pendidikan untuk membuka tawaran baharu kepada pelajar cemerlang SPM dari golongan B40 untuk mengikuti Program Matrikulasi KPM Sesi 2019/2020 menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan berada di atas landansan yang tepat untuk membawa perubahan demi kemaslahatan rakyat.

Tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Pendidikan di atas pelaksanaan dasar baharu ini. Perhatian berterusan yang diberikan kepada golongan B40 akan mampu menjana perubahan sosio-ekonomi keluarga mereka di kemudian hari, dan ini bermula dengan sokongan pendidikan yang fokus kepada mereka.

Tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (needs-based affirmative action) ini yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan adalah sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, malah lebih memperluaskan lagi bantuan kepada belia golongan sasar dari semua kaum.

Keputusan kabinet ini adalah bertepatan dengan tujuan dan matlamat asal matrikulasi yang mengutamakan keperluan akses pendidikan tinggi kepada anak-anak cemerlang dari keluarga golongan terpinggir. Semoga lembaran baru ini bakal membakar semangat mereka untuk mengubah nasib diri dan keluarga di masa hadapan.

Pelbagai inisiatif sebenarnya telah direncana dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan yang harus disokong sepenuhnya oleh masyarakat. Sebagai contoh, penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (JKPTVET) yang hari ini telah membuahkan hasilnya.

Kita juga tidak akan lupa bagaimana Kementerian Pendidikan juga berjaya melakukan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang membenarkan mahasiswa aktif berpolitik. Pindaan-pindaan ini penting bagi pembinaan generasi belia masa depan dan pemimpin lebih demokratik pada masa akan datang selain menjadi manifestasi kepada pelaksanaan perubahan-perubahan yang lebih besar.

Pelbagai usaha untuk mengurangkan bebanan tugas guru juga telah berjaya dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan agar para guru boleh kembali kepada tugas hakiki mereka iaitu mendidik anak bangsa. Kejayaan ini juga diakui sendiri oleh The National Union of the Teaching Profession (NUTP) yang mewakili sejumlah 230,000 orang ahli dari profesyen perguruan.

Masalah-masalah seperti pertukaran guru duka lara, isu pentaksiran berasaskan sekolah, kekurangan guru ganti dan isu penggunaan gajet di sekolah juga sedang diselesaikan secara sesi libat urus dan mendengar suara daripada akar umbi dalam merangka segala dasar.

Saya ingin berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik serta Timbalan Menteri Teo Nie Ching atas kesudian mereka untuk menerima buah pandangan yang dicadangkan oleh DAPSY Kebangsaan mengenai isu matrikulasi dan STPM.

Meskipun perjalanan reformasi dasar pendidikan negara di hadapan kita masih panjang dan berliku, namun saya kekal berkeyakinan – dengan semangat kerjasama progresif antara kepimpinan Pakatan Harapan – usaha kita ini akan membuahkan hasilnya. – Roketkini.com

*Howard Lee Chuan How adalah Ketua DAPSY Kebangsaan, Timbalan Ketua Pemuda HARAPAN Malaysia, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak.