Rencana

Malaysia berdaya tahan hadapi cabaran ekonomi mendatang

Kenyataan  Dr. KS Jomo kepada pemberita semasa Konvensyen Ekonomi Malaysia 2019 pada Isnin, 17hb Jun, 2019 telah mendapat laporan yang meluas di dada akhbar. Terutamanya apabila dia menyebut bahawa “Ini akan menjadi masa yang sangat sukar kerana keadaan luaran sangat buruk dan semakin merosot pada hampir setiap hari “. Dia juga menambah bahawa “banyak masalah ini berada di luar kawalan Kerajaan Malaysia “[1]

Saya bersetuju dengan pandangan Dr. Jomo bahawa keadaan ekonomi luaran akan terus menjadi sangat mencabar, terutamanya di dalam perkembangan terbaru hubungan ekonomi AS-China. Saya juga bersetuju bahawa banyak cabaran ini disebabkan oleh faktor di luar kawalan kerajaan Malaysia.

Apabila perang perdagangan AS-China terhad kepada skop tarif barangan dan perkhidmatan, Malaysia boleh sekurang-kurangnya mendapat manfaat daripada beberapa lencongan perdagangan dan pelaburan yang berjangka pendek. Ini dapat mengurangkan kesan negatif jangka panjang akibat perang perdagangan. Sebagai contoh, NOMURA telah menganggarkan bahawa Malaysia akan menjadi penerima manfaat ke-4 terbesar daripada perang perdagangan AS-China hasil daripada lencongan perdagangan.[2]

Tetapi apabila kerajaan Amerika Syarikat mengancam untuk menghalang syarikat-syarikat AS daripada menjalankan perniagaan dengan syarikat-syarikat China seperti Huawei, kesannya kepada negara-negara seperti Malaysia adalah negatif. Sebagai contoh, pengurangan pendapatan Huawei sebanyak US$ 30 bilion akan memberi kesan negatif kepada syarikat lain dalam rantaian bekalannya, termasuk syarikat-syarikat AS[3]. Broadcom sebagai contoh, menjangkakan pengurangan pendapatannya sebanyak US$ 2 bilion akibat daripada tindakan yang diambil (atau akan diambil) terhadap Huawei oleh pentadbiran AS.[4] Kesan riak kepada Malaysia, terutamanya di dalam industri Elektrik dan Elektronik (E&E) berkemungkinan menjadi besar.

Adalah malang bahawa sesetengah pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, memilih untuk mengambil komen Dr. Jomo luar daripada konteks untuk menyerang kerajaan dan bukannya mengakui cabaran luaran yang serius dihadapi negara ketika ini.[5]

Syukurlah, bahawa tidak semuanya teruk dan suram bagi ekonomi Malaysia. Terdapat tanda-tanda bahawa ekonomi kita yang pelbagai mampu menampan beberapa cabaran dunia yang mendatang.

Selepas dua bulan pertumbuhan negatif tahun ke tahun, eksport untuk bulan April 2019 meningkat sebanyak 1.1% kepada RM85.2 bilion. Untuk bulan Januari hingga April 2019, eksport menurun sedikit sebanyak 0.2% kepada RM321.26 bilion.[6] Walaupun berlakunya perang perdagangan AS-China, eksport kita ke China daripada Januari hingga April 2019 masih meningkat sebanyak 2.8% kepada RM42.7 bilion. Saya optimis bahawa angka eksport keseluruhan untuk separuh pertama 2019 akan menunjukkan pertumbuhan yang positif.

Daripada segi kelulusan pelaburan, angka-angka yang diumumkan untuk suku pertama tahun 2019 adalah menggalakan. Secara keseluruhannya, kelulusan pelaburan meningkat sebanyak 3.1% bagi 3 bulan pertama 2019 daripada RM52.3 bilion kepada RM53.9 bilion. Pelaburan asing, yang merupakan 54.4% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, meningkat sebanyak 73.4% daripada RM16.9 bilion kepada RM29.3 bilion, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan pelaburan yang diluluskan di dalam sektor pembuatan.[7]

Pada masa yang sama, pelaburan yang direalisasikan, mengikut Angka Imbangan Pembayaran Q1 2019, untuk FDI, meningkat kepada RM21.7 bilion berbanding RM12.9 bilion pada Q4 2018. FDI ini sebahagian besarnya disalurkan ke sektor Perkhidmatan, Pembuatan, Perlombongan & Pengkuarian.[8]

Saya bersetuju dengan Dr. Jomo dan Mr Allen Ng, ketua ekonomis di Suruhanjaya Sekuriti, yang juga bercakap pada acara yang sama; kedua-duanya menekankan pentingnya untuk memacu pelaburan langsung domestik (DDI). Pada masa yang sama, kita tidak boleh menafikan bahawa FDI, sama ada dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan, boleh meningkatkan sumbangan nilai tambah dan seterusnya meningkatkan bilangan pekerjaan bergaji lebih tinggi untuk rakyat Malaysia. FDI ini juga mempunyai kesan limpahan, contohnya, dalam mengintegrasikan firma domestik ke dalam rantaian bekalan global yang lebih besar. Banyak syarikat Malaysia telah menjadi pemain yang berdaya saing di peringkat global akibat daripada rangkaian rantaian bekalan yang dibentuk melalui syarikat-syarikat multinasional yang telah membuat pelaburan jangka panjang di Malaysia.

Kementerian saya, bersama-sama dengan agensi promosi pelaburan kami, MIDA dan InvestKL, akan meneruskan usaha kami untuk menarik FDI bermutu untuk masuk ke Malaysia. Kami juga akan terus menggalakkan DDI dengan, seperti contohnya, menyediakan geran-geran pembiayaan sepadan (‘matching grants’) melalui skim-skim seperti Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF).[9]

Angka Pembuatan dan Pengeluaran Perindustrian Malaysia untuk April 2019 juga amat menggalakkan. Jualan sektor pembuatan pada April 2019 meningkat sebanyak 6.8% tahun ke tahun kepada RM69.8 bilion, didorong oleh peningkatan jualan produk mineral bukan logam (7.5%), produk E&E (6.7%) dan petrokimia, kimia, getah dan produk plastik (5.8%). Secara keseluruhan, bagi tempoh Januari hingga April 2019, nilai jualan pembuatan meningkat sebanyak 6.2%, tahun ke tahun kepada RM280.6 bilion. Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) meningkat sebanyak 4.0%, tahun ke tahun pada April 2019 dengan sektor pembuatan berkembang sebanyak 4.3%.

Kita dapat lihat bahawa ada tanda-tanda positif ketahanan ekonomi serantau. Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) ASEAN meningkat daripada 50.4 pada bulan April kepada 50.6 pada bulan Mei.[10] Walaupun ini adalah peningkatan yang kecil, ia merupakan petanda yang menggalakkan di sebalik naratif ekonomi global semasa. Pada masa yang sama, Caixin China General Manufacturing PMI kekal pada 50.2 pada Mei 2019, memberi isyarat bahawa kebimbangan mengenai kelembapan China yang dijangkakan berlaku mungkin telah diperbesar-besarkan.[11] Sesiapa pun tidak boleh memandang rendah daya tahan dalaman ekonomi domestik China. Ia telah memberikan rangsangan yang diperlukan semasa krisis kewangan global pada tahun 2008. 10 tahun kemudian, ekonomi China adalah lebih besar dan lebih pelbagai. Ia juga lebih terintegrasi dengan ekonomi Asia daripada segi perdagangan dan pelaburan. Oleh itu, China, diharapkan, berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menyerap tekanan yang timbul daripada ketegangan perdagangan. Ini akan meminimumkan impak negatif ekonomi untuk seluruh rantau ini, termasuk Malaysia.

Berlandaskan kepelbagaian ekonomi Malaysia dan minat pelabur asing yang berterusan, kita berharap Malaysia juga berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi ribut ekonomi yang mendatang. – Roketkini.com

*Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 20hb Jun, 2019.

[1] https://www.theedgemarkets.com/article/forget-about-politics-tough-times-are-here-says-economist#.XQc2N66-IUU.facebook

[2] https://www.theedgemarkets.com/article/msia-4th-biggest-beneficiary-trade-diversion-%E2%80%94-nomura

[3] https://www.wired.com/story/huawei-says-us-sanctions-reduce-revenue-dollar30-billion/

[4] https://www.wsj.com/articles/broadcom-shows-huaweis-ripple-effect-11560468197

[5]https://www.facebook.com/najibrazak/photos/a.10151787553305952/10156148562875952/?type=3&theater

[6] http://www.matrade.gov.my/en/for-foreign-buyers/industry-capabilities/trade-statistics/179-malaysian-exporters/trade-performance2019/4619-trade-performance-april-2019-and-january-april-2019

[7] http://www.mida.gov.my/home/8920/news/-q1-2019-approved-investments-in-the-manufacturing-servicesprimary-sectors-reachrm53.9-billion-fdi-in-the-manufacturing-sector-soared-by-127.0/

[8] https://www.theedgemarkets.com/article/realised-fdi-q1-made-highquality-investments-%E2%80%94%C2%A0tony-pua

[9] http://www.mida.gov.my/home/funds-or-incentives-under-domestic-direct-investment-(ddi)-initiatives/posts/

[10] https://asia.nikkei.com/Business/Markets/Nikkei-PMI/ASEAN-manufacturing-PMI-improves-further-in-May

[11]chromeextension://oemmndcbldboiebfnladdacbdfmadadm/https://www.markiteconomics.com/Public/Home/LiteReport/744081f7af55462593a 26aa371ccb927?s=1