Berita

Golongan OKU bakal nikmati diskaun mudah alih prabayar, pasca bayar dan talian tetap

Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) akan menerima diskaun pakej perkhidmatan mudah alih prabayar, pasca bayar dan talian tetap sebagai inisiatif untuk meningkatkan produktiviti perniagaan mereka menerusi platform internet.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, penyedia perkhidmatan mudah alih prabayar dan pasca bayar telah bersetuju untuk memberikan diskaun antara RM10 dan RM15 untuk pakej tertentu.

“Manakala bagi perkhidmatan talian tetap pula, penyedia perkhidmatan akan memberikan diskaun antara RM10 dan RM44 untuk pakej tertentu.

“Saya berharap pakej-pakej ini akan membantu golongan ini dan menggalakkan lebih banyak penggunaan internet untuk meningkatkan dan memperkembangkan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Inisiatif berkenaan, kata Gobind, adalah hasil usaha sama antara kementerian dan syarikat penyedia perkhidmatan yang terlibat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi kerana mengambil langkah proaktif untuk mengemukakandan melaksanakan pakej-pakej ini untuk membantu inisiatif ini.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan OKU dan akan memastikan bahawa mereka juga mendapat manfaat daripada kelebihan-kelebihan ekonomi digital dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak yang sedia menjayakan sebarang usaha untuk tujuan tersebut,” tambahnya. – Roketkini.com