Berita

Tuduhan Presiden UMNO terhadap DAP tak berasas – Tengku Zulpuri

Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menyifatkan dakwaan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bahawa kononnya terdapat cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi menambah kerusi DAP di Parlimen sebagai tidak berasas.

Menurut beliau, sesiapa saja boleh membuat tuduhan rambang seumpama itu tanpa memberikan sebarang bukti.

“Kena tanya dia (Zahid Hamidi) cadangan dari mana, lepas itu baru boleh komen lanjut, semua orang boleh bercakap macam itu.

“Saya pun boleh bercakap ada juga daripada pemimpin UMNO mahu ubah perlembagaan UMNO supaya dapat singkirkan Najib (Razak) dan beliau (Ahmad Zahid) sendiri,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Zahid Hamidi dilapor sebelum ini mendakwa kononnya terdapat usaha untuk meminda perlembagaan bagi tujuan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee berkata, tuduhan berkenaan menunjukkan UMNO masih tidak dapat menerima hakikat kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Zahid Hamidi nampaknya masih tidak dapat menerima hakikat bahawa Barisan Nasional tidak lagi berkuasa.

“Pada hari ini, SPR bukan budak suruhan kepada parti pemerintah seperti di bawah pemerintahan BN,” tegasnya yang juga Adun Pasir Pinji dalam kenyataan.

Howard turut menolak dakwaan Hamidi bahawa kononnya akan berlaku penambahan kerusi DUN.

“Setahu saya selaku ahli Exco Kerajaan Negeri, tidak ada lagi sebarang usul untuk meminda undang undang tubuh negeri yang dicadangkan oleh pihak SPR, ataupun oleh mana-mana Adun di Negeri Perak.

“Adakah YB Bagan Datuk itu menipu semata-mata?” soalnya.

Beliau turut menyamakan tuduhan Zahid Hamidi itu dengan pepatah ‘meludah ke langit akhirnya kena batang hidung sendiri’.

“Kenyataan beliau ini jelas menunjukkan bahawa UMNO melihat SPR bertindak dengan mengikut arahan parti pemerintah, seperti zaman pemerintahan Barisan Nasional.

“Pada saat kerajaan dan rakyat sedang mencari jalan mengusahakan penyelesaian masalah dan kemelut yang ditinggal oleh UMNO sewaktu mereka memerintah, kenyataan Zahid yang berunsur fitnah ini sepatutnya tidak beliau utarakan.

“Berpolitiklah secara berhemah bagi membawa kebaikan kepada rakyat, bukannya berhujah untuk mengundang hasutan dan cerita khayalan yang membawa kepada kebencian,” ujarnya. – Roketkini.com