Berita

MP Pasir Salak digantung empat hari kerana bersikap biadab, tidak senonoh

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman diarah keluar dewan oleh Timbalan Speaker, Nga Kor Ming selepas bertindak biadab, tidak senonoh dan menganggu perjalanan sidang Parlimen, hari ini. 

Keputusan itu dibuat selepas pemimpin UMNO itu menggunakan ruang dan masa yang diberikan untuk bertanya soalan kepada menteri dengan membangkitkan hal remeh sehingga menimbulkan kekecohan.

Dia mempersoalkan mengapa Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub mewakilkan timbalannya, Sim Tze Tzin untuk menjawab soalan tambahan keduanya.

Kor Ming menjelaskan tidak ada peraturan yang melarang seseorang menteri mewakilkan timbalannya untuk menjawab sebarang soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen. 

Tidak berpuas hati dengan hujah tersebut, Tajuddin bertindak membuat kecoh dan berlaku biadab dengan menuduh Timbalan Speaker sebagai sombong.

Ia menyebabkan Kor Ming mengambil tindakan tegas mengarahkan Tajuddin keluar dewan dan digantung selama dua hari mengikut Peraturan Mesyuarat 44(2) . 

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Tajuddin bagaimanapun ingkar dengan arahan tersebut dan berterusan melakukan provokasi, sehingga memaksa timbalan speaker menukar keputusannya untuk menggantung pemimpin UMNO itu selama empat hari. 

‘Boleh bertikam lidah, tapi biar berhemah’

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan ketika ditemui pemberita berkata adalah menjadi tugasnya sebagai timbalan speaker untuk menjaga imej institusi speaker dan dewan yang mulia.

Malah, katanya, beliau berlaku adil kepada semua Ahli Parlimen, tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang, dan tidak terangak-agak untuk mengeluarkan arahan kepada mereka. 

“Saya dan speaker, Datuk Mohd Ariff, kami sentiasa sudi memberikan ruang dan peluang kepada ahli Parlimen untuk bertanya.

“Kita boleh bertikam lidah, tetapi haruslah secara berhemah. Bukannya berkelakuan seperti samseng, biadab dan kurang ajar,” katanya.

Beliau turut menasihati semua ahli Parlimen agar menjalankan tugas dengan amanah dan berhemah. – Roketkini.com