Berita

Kejayaan Undi 18 detik bersejarah buat Malaysia – Kit Siang

Setelah hampir 48 tahun menyuarakan tentang kepentingan untuk menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini mampu menarik nafas lega kerana ia kini hampir menjadi realiti. 

Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan had umur kelayakan mengundi diturunkan kepada 18 tahun. 

Usul berkenaan mendapat sokongan 211 ahli Parlimen, sementara tiada yang menolak dan tiada juga yang berkecuali. 

“Sokongan sebulat suara parlimen berhubung pindaan perlembagaan bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun adalah suatu detik bersejarah bagi Malaysia dan impian menjadi kenyataan bagi saya, yang pertama kali menyuarakan isu itu di parlimen 48 tahun lalu pada tahun 1971,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Malah, katanya lagi, keputusan itu juga membuktikan bahawa DAP bukanlah seperti yang dimomokkan oleh parti pembangkang sejak sekian lama. 

“Jika DAP adalah parti politik Cina rasis yang mengawal kerajaan Pakatan Harapan (PH), seperti mana dituduh pemimpin politik gabungan klepto-teokrasi yang tidak bertanggungjawab, sudah tentu DAP akan menolak pindaan berkenaan, kerana pengundi Melayu akan mengalami penambahan yang besar berbanding pengundi Cina berdasarkan komposisi demografik di negara ini,” ujarnya. 

Tambah Ahli Parlimen Gelang Patah itu, kerajaan PH bertindak demi kepentingan negara walaupun sedar RUU berkenaan akan memberi kelebihan kepada pembangkang. 

“Ada yang kata menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun akan memberi keuntungan kepada pembangkang dan menjejaskan kerajaan, kerana terdapat tanggapan bahawa anak muda secara umumnya anti-establishment dan anti-kerajaan, dan ini sebab mengapa Perlembagaan Malaysia tidak pernah dipinda sejak enam dekad lalu untuk tujuan memperkasakan orang muda. 

“Namun kerajaan PH menunjukkan bahawa ia bertindak atas dasar kepentingan negara, walaupun ia mungkin menjejaskan kepentingan gabungan Pakatan Harapan,” ujarnya. 

Keputusan itu juga, katanya, menjadi peringatan dan cabaran buat kerajaan PH serta pemimpinnya untuk mengiatkan lagi usaha bagi melaksanakan teras utama manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kerajaan dan kepimpinan PH perlu memulakan program untuk melibatkan belia di negara ini dan mendapatkan sokongan mereka dalam pembinaan Malaysia Baharu.

 “Mustahil untuk membanteras rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan yang berlaku selama enam dekad lalu dalam tempoh dalam setahun atau dua tahun, kerana ia adalah misi yang akan mengambil tempoh lebih daripada satu kitaran pilihan raya.

 “Tetapi kita perlu menyakinkan semua rakyat Malaysia, termasuk belia yang baru diperkasakan ini, bahawa Pakatan Harapan berada di landasan untuk membina sebuah Malaysia Baharu dan bahawa lima janji teras seperti yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan kekal menjadi prinsip dan panduan kita,” ujarnya. 

Antara lima teras utama manifesto PH bagi pembinaan Malaysia Baharu iaitu meringankan beban kehidupan rakyat, mereformasi institusi pentadbiran dan politik, merancak pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 dan membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia. – Roketkini.com