Berita

Kesedaran mengundi: semua pihak perlu main peranan didik rakyat – Rara

Semua pihak termasuk kerajaan, wakil bukan kerajaan dan agensi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memainkan peranan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan mengundi.

Menurut Adun Ketari, Young Syefura Othman yang lebih dikenali sebagai Rara, pihak berkepentingan perlu mengiatkan usaha untuk memberikan penjelasan kepada masyarakat tentang perkara itu. 

“Rakyat Malaysia ada hak untuk mengundi atau tidak mengundi,” kata pemimpin muda DAP itu dalam forum bertajuk “Make A Change Let’s Do It Togetherdi Putrajaya, hari ini.

“Tidak mengundi juga adalah pilihan, tetapi kita sebagai kerajaan, wakil bukan kerajaan dan SPR mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka keluar mengundi dengan menjelaskan kepada mereka tentang tanngungjawab dan hak mereka sebagai pengundi.”

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan tentang kewajaran mengenakan denda terhadap pengundi berdaftar yang tidak menjalankan tanggungjawab mereka.

Rara yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP turut menekankan tentang pengetahuan yang harus disebar luas dalam pelbagai bentuk kepada masyarakat tentang tanggungjawab yang dipikul mereka sebagai seorang pengundi. 

“Kalau kita kurang (berikan) ilmu pengetahuan dan maklumat yang lebih jelas kepada masyarakat, maka mereka tidak akan tahu tanggungjawab dan hak mereka (sebagai pengundi),” ujarnya. 

Isu berkaitan pengundi hangat dibicarakan sejak akhir-akhir ini selepas Rang Undang-undang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan umur minimum mengundi diturunkan kepada 18 tahun diluluskan di Dewan Rakyat, kelmarin. 

Usul berkenaan mendapat sokongan 211 ahli Parlimen, sementara tiada yang menolak dan tiada juga yang berkecuali. – Roketkini.com