Berita

MoF pelawa orang ramai sumbang cadangan Belanjawan 2020

Kementerian Kewangan mempelawa orang ramai untuk menyumbanga cadangan bagi penyediaan input Belanjawan 2020 di laman web – belanjawan2020.treasury.gov.my – bermula 9 Ogos sehingga 11 September 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini bertujuan untuk membolehkan semua lapisan masyarakat terbabit dalam mengemukakan pandangan mereka “selaras dengan usaha kerajaan untuk membina negara dan menyejahterakan rakyat”.

“Justeru, rakyat boleh menggunakan pelbagai saluran untuk berkongsi input atau cadangan di laman web khas belanjawan2020.treasury.gov.my dan menggunakan tanda pagar #belanjawan2020 di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya lagi, kerajaan juga telah menganjurkan Majlis Konsultasi Bajet iaitu forum utama untuk pelbagai pihak mewakili sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi menyumbang idea dan cadangan konstruktif untuk dipertimbang sebagai input dalam merangka strategi dan langkah-langkah berkaitan belanjawan.

“Di samping itu, beberapa siri konsultasi kumpulan fokus akan turut diadakan bersama kerajaan negeri seperti Johor, Kedah, Perak dan Sabah serta kementerian bermula esok (9 Ogos),” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Belanjawan 2020 tersebut akan dibentangkan pada 11 Oktober depan. – Roketkini.com.