Seni, apa jua bentuk dan definasinya, tidak akan pupus tanpa dana kerajaan – ia akan terus hidup selagi lagu didendangakan, rangkap puisi dilantukan dan wayang gambar dimainkan.
Pun begitu, perkembangan seni memerlukan dana yang mencukupi bagi melicinkan proses penciptaan sesuatu karya, apatah lagi dalam dunia moden yang mencabar pada hari ini.
Namun, “dana” yang dianggap bantuan atau subsidi apabila dihubungkan dengan perkataan “kerajaan”, umumnya membawa konotasi yang negatif.
Dana kerajaan dalam bentuk bantuan dan subsidi sering dikaitkan dengan syarat sokongan politik dan garis panduan yang ketat sehingga menganggu-gugat kandungan kreativiti yang ingin dihasilkan.
Ini adalah antara beban yang dibimbangi akan terpaksa dipikul para seniman tulen sekiranya ditawarkan sejumlah wang ringgit daripada kerajaan.
Kartunis, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, bagaimanapun cuba menawarkan alternatif lain terhadap permasalahan tersebut.
Beliau mencadangkan suatu bentuk dana bersifat sokongan yang tidak mengongkong, malah menggalakkan lagi percambahan karya seni.
“Bercambah ini ertinya berbagai jalur dan juga pelbagai ekspresi dibenarkan (untuk dipersembahkan). Saya lihat, seni tumbuh banyak, tapi tak bercambah.
“Contohnya, kalau semua tanam kangkung, kangkung saja. Kalau kita pergi makan di restoran, semua jual Tom Yam, tak ada jual makanan lain,” katanya selaku panelis pada forum ‘Adakah Seni Akan Pupus Tanpa Dana Kerajaan’ anjuran Roketkini di Kuala Lumpur, kelmarin.
Tambah Zunar, yang 9 buah karyanya diharamkan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), lambakan dana bersifat bantuan atau subsidi dan bukannya sokongan menyebabkan percambahan seni tidak rancak dan sekaligus terbantut.
Lebih parah, katanya, situasi itu mewujudkan keterasingan antara seni dan isu-isu berkaitan masyarakat.
“Akibat tak bercambah, ia (seni) gagal membawa isu-isu dalam masyarakat. Seni tidak harus berakhir di situ. Banyak isu-isu dalam masyarakat (yang perlu diangkat),” tegasnya.
Turut berkongsi pandangan yang sama adalah seorang lagi panelis, Takahara Suiko yang merupakan penggiat seni muzik kontemporari dan pengasas kugiran The Venopian Solitude.
“Seperti yang saudara Zunar katakan tadi, bukan soal kepupusan tetapi perkembangan seni itu sendiri – sepantas mana seni itu berkembang (dengan sokongan kerajaan),” ujarnya.
Beliau turut memberi contoh kesungguhan kerajaan Korea Selatan dalam menyokong seni hiburan di negara Asia itu dengan penyaluran pelbagai bentuk dana sehingga jenama atau industri K-pop (Korean pop) berkembang dan diterima, malah mencetuskan fenomena di negara-negara Barat.
“Tahun ini, Blackpink (kumpulan K-pop) perform dekat Coachella (festival seni muzik terkemuka), dan ia direalisasikan atas bantuan kerajaan Korea Selatan,” katanya.
Beliau turut berkongsi kisah kesulitan penggiat seni tempatan yang bergelut untuk mencari wang bagi menampung perbelanjaan mengadakan persembahan di luar negara sehingga mengakibatkan mereka terlepas peluang untuk mengembangkan pengaruh dan bakat di luar lingkungan Malaysia.
“Band Couple (kugiran underground tempatan yang popular pada pertengahan tahun 90-an) dapat jemputan jelajah di US (Amerika Syarikat) selama sebulan bersama sebuah kugiran terkenal.
“Apa yang diperlukan mereka cuma RM20,000 untuk tampung perbelanjaan tambang ke US untuk empat orang anggota. Tetapi apa yang menyedihkan ketika itu tidak ada bantuan kerajaan,” ujarnya.
Penggerak seni rupa, Nur Hanim Mohamed Khairuddin pula berpendapat, persoalan tentang keperluan dana untuk seni berkait rapat dengan skala pembikinan sesuatu karya yang mahu dihasilkan oleh seseorang seniman.
Bagi Pengurus Besar Person Of Remarkable Talent (P.O.R.T) itu, dalam skala yang besar, dana mampu melancarkan penghasilan seni dan membawa ia ke tahap yang lebih baik.
“Dalam bidang seni rupa, kalau kita sebut tentang seni kontemporari, ia bukan sekadar melukis di atas kanvas lagi, skalanya sudah besar dan bahan (material) yang digunakan terlalu canggih.
“(Oleh itu) kosnya akan bertambah, jadi perkara-perkara ini perlu diambil kira. Dengan adanya pendanaan, maka akan membantu untuk melancarkan lagi penghasilan seni ke tahap yang lebih baik,” ujarnya.
Finas gagal?
Bagi pengarah filem, Al Jafree Md Yusop, kesilapan dalam pengagihan dana kepada mana-mana badan atau pembikin seni berlaku dalam suasana “pemikiran yang cetek”.
Beliau memberi contoh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang telah ditubuhkan sejak 30 tahun lalu, tetapi seolah-olah masih “tidak mampu berdiri di atas kaki sendiri” dan terus bergantung kepada dana kerajaan.
Pengarah filem Mencari Rahmat itu membandingkan badan pertubuhan filem di AS, American Film Institute (AFI) yang mampu menampung dana sendiri selepas 10 tahun bertapak.
“Bila keluar duit (dana). RM100 juta bagi pada pembikin-pembikin filem untuk buat filem.
“Walhal, sebenarnya, satu badan pembangunan filem mempunyai tugas yang lebih penting iaitu archiving – mengarkibkan karya-karya klasik, untuk dihayati bukan sahaja pelajar filem, malah orang ramai,” ujarnya.
Beliau memberi contoh Argentina yang giat melakukan kerja-kerja pengarkiban filem klasik dan menyediakan laman sesawang khas untuk membolehkan peminat filem mengakses dan menikmati karya-karya tersebut dengan kadar bayaran yang rendah.
Tambah Al Jafree, kesilapan Finas adalah disebabkan oleh cara badan itu meletakkan kepentingannya, yang menurut beliau tidak banyak berubah meskipun selepas peralihan tampuk pentadbiran tahun lalu.
“(Finas masih) tumpu kepada soal beri dana (pada pembikin filem) dan wajib tayang.
“Saya rasa Finas gagal, dan selepas 2018, Finas masih gagal.
“Kalau ini tidak dipandang serius, kita perlu berbuat sesuatulah. Ini satu perkembangan yang tidak sihat,” tegasnya.
Disiplin sebelum dana
Dalam pada itu, penulis dan pengasas rumah penerbitan Obscura, Hafiz Hamzah mengakui bahawa beliau tidak pernah sekalipun menerima sebarang dana daripada kerajaan untuk menghasilkan dan menerbitkan karya-karyanya.
Bagi penulis Malakalis itu, dalam konteks seorang pembikin karya sastera, sikap atau disiplin harus dibangunkan terlebih dahulu di dalam diri individu berkenaan sebelum memikirkan tentang dana.
“Kalau kamu kata mahu jadi penulis, kamu harus bina disiplin terlebih dahulu sebelum meminta dana,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan kekecewaan terhadap pelbagai isu yang membelenggu badan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang disifatkan sebagai “sia-sia” untuk diperbahaskan, dan ini juga menjadi titik tolak buat beliau mencari alternatif lain untuk menghasilkan karya sastera iaitu dengan cara menerbitkan sendiri.
“Walaupun dengan kudrat kecil, dengan ketidakmampuan yang segala macam, ia tetap beri banyak kepuasan dan banyak control (kebebasan) untuk menghasilkan karya-karya yang kita mahukan,” ujarnya.
Ruang dan wang
Forum pada malam itu turut menampilkan wakil tunggal kerajaan iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim yang juga merupakan seorang pencinta seni dan penulis buku kumpulan puisi “Dalam Salju Ada Bunga”.
Bagi Steven, masalah yang timbul dalam bidang seni ketika ini bukan sepenuhnya tentang dana, tetapi soal kebebasan ruang untuk orang ramai dan khususnya para seniman untuk berekspresi.
Beliau memberi contoh akhbar Utusan Malaysia (media milik UMNO) yang dikatakan akan dihentikan operasinya akibat kekangan kewangan.
“Isunya bukan dana. Utusan Malaysia, sudah tentu menerima dana yang amat besar daripada kerajaan terdahulu.
“Saya rasa isu yang lebih penting daripada dana ialah kerajaan atau pemerintah perlu memberikan ruang berekspresi.
“Ruang kepada penggiat seni, kepada sasterawan untuk meluahkan buah fikiran mereka – saya rasa itu lebih penting. Memberi ruang lebih penting daripada memberi wang,” katanya.
(Utusan Malaysia sering dilabel oleh pengkritik dan pemerhati politik sebagai “akhbar propaganda UMNO” yang dikawal ketat oleh pemerintah dan pasukan editorial dengan bentuk naratif yang bersifat perkauman, malah ada ketika berunsur fitnah terhadap pembangkang semasa sebelum PRU14.)
Menyentuh mengenai inisiatif kerajaan, Steven berkata, pemberian elaun bulanan sebanyak RM5,000 kepada Sasterawan Negara merupakan suatu usaha yang baik dalam mengiktiraf sumbangan mereka dalam bidang seni negara ini.
“Ini membuktikan bahawa kerajaan mengambil berat tentang orang sastera, orang seni,” katanya. – Roketkini.com