Berita

Syahredzan maafkan individu buat ugutan bunuh terhadapnya

Peguam, Syahredzan Johan berkata beliau menerima permohonan maaf daripada individu yang membuat ugutan bunuh terhadapnya baru-baru ini.

Menurutnya, individu berkenaan membuat permohonanan maaf secara peribadi dan menerusi Facebook. 

“Atas dasar kemanusiaan, dan simpati terhadap keluarganya, saya telah bersetuju untuk memaafkan individu tersebut. Saya anggap tiada lagi isu antara beliau dengan saya secara peribadi.

“Saya berharap episod ini jadi pengajaran buat kita semua, termasuk diri saya sendiri, bahawa walau apa pun perbezaan di antara kita sebagai rakyat Malaysia, jangan sesekali ia mengakibatkan ugutan, keganasan atau apa-apa jenis kesalahan jenayah,” ujarnya dalam hantaran di Facebook. 

Syahredzan yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, menerima ugutan bunuh daripada individu berkenaan menerusi mesej peribadi di Facebook, minggu lalu.

Ia susulan kenyataannya yang menggesa agar status penduduk tetap penceramah kontroversi, Zakir Naik ditarik kerana mengeluarkan “kenyataan yang telah mengguris perasaan rakyat Malaysia dan menyebabkan ketegangan hubungan antara kaum”.

Menurut laporan media, lebih 200 laporan polis telah dibuat terhadap Zakir berhubung ucapannya yang didakwa mengancam keamanan dalam satu syarahan di Kelantan baru-baru ini. 

Ekoran itu, polis telah memanggil penceramah itu untuk memberi keterangan. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

PR Zakir Naik boleh ditarik balik 

Dalam perkembangan berkaitan, bekas ketua polis negara, Rahim Noor menggesa agar kerajaan membatalkan status PR terhadap Zakir dan menghantarnya pulang ke India. 

Beliau yakin, terdapat sebab yang cukup untuk kerajaan membuat keputusan tersebut meskipun siasatan masih berlangsung terhadap penceramah tersebut. 

“Dengan bukti kukuh mengenai apa yang diperkatakannya di Kelantan dan apa yang dilakukannya di India, saya menggesa kerajaan membatalkan status PR Zakir dan menyerahkannya kepada kerajaan India dan membenarkan beliau menghadapi undang-undang di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan menarik balik status PR Zakir jika siasatan polis mendapati penceramah itu melakukan sesuatu yang menjejaskan kesejahteraan negara. 

“Kita (kerajaan) boleh tarik balik status penduduk tetapnya jika dia (Zakir) melakukan sesuatu yang menjejaskan kesejahteraan negara ini,” katanya.

Tambahnya, Zakir juga dilihat jelas mencetuskan ketegangan kaum di negara ini. 

“Beliau telah mengganggu hubungan kaum dan ini tidak baik. Disebabkan itu polis siasat sama ada beliau mencetuskan ketegangan atau tidak dan amat jelas beliau telah berbuat demikian.

“Namun apa juga tindakan yang kita ambil akan mengikut undang-undang kerana kerajaan ini menghormati rule of law,” katanya. 

Zakir dilarang berceramah di negara ini susulan kenyataan kontroversinya itu. – Roketkini.com