Berita

Pemimpin DAP ajak rakyat tolak politik kotor dan perpecahan

Menjelang Sambutan Hari Malaysia ke-56 minggu hadapan, semua masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah diseru menolak unsur perpecahan dan politik kotor yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab. 

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, rakyat negara ini harus sentiasa berwaspada dan bersatu padu dalam menolak sebarang cubaan untuk memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

Beliau mengajak rakyat untuk mengambil iktibar daripada kemenangan yang dilakar pasukan bola sepak Malaysia ke atas Indonesia baru-baru ini yang membangkitkan semangat perpaduan di kalangan rakyat. 

“Ini mengingatkan kita pada era kemuncak pasukan bola sepak Malaysia pada tahun 1970-an dan 1980-an,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menurut Lip Eng, pasukan bola sepak negara ketika itu diwakili pemain yang mempunyai latar belakang kaum yang berbeza, tetapi mampu bekerjasama demi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. 

Antara pemain itu adalah R. Arumugam, M. Karathu, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, James Wong, Hassan Sani, Chow Chee Keong, Abdul Ghani Minhat, Zainal Abidin Hassan dan Matlan Marjan.

“Kemenangan ke atas Indonesia dan sokongan tidak putus-putus daripada pemain ke-12 Harimau Malaya iaitu penyokong sendiri amat menyentuh hati rakyat. 

“Saya justeru menyeru semua masyarakat untuk menyokong kempen “SAYANGI MALAYSIAKU: TOLAK POLITIK KOTOR DAN PERPECAHAN” menjelang 16 September 2019,” ujar Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan. – Roketkini.com