Berita

Jerebu: Proses pembenihan awan akan dimulakan hari ini

Proses pembenihan awam akan dimulakan hari ini di Sarawak berikutan masalah jerebu rentas sempadan yang semakin memburuk ketika ini, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Menurut beliau, agensi berkaitan sudah bersiap sedia untuk memulakan proses berkenaan selepas pemantauan awal selesai dilakukan. 

“Hari ini kawasan ‘hotspot’ atau tompok panas kebakaran hutan di Kalimantan meningkat kepada 1,188 berbanding 480 semalam manakala di Sumatera pula meningkat kepada 431 berbanding 387. Secara perbandingannya hanya terdapat lima tompok panas di Malaysia hari ini berbanding tujuh semalam.

“Jika dilihat angka pertambahan tompok panas kebakaran hutan di Kalimantan hari ini, jerebu di Sarawak dijangka bertambah serius.

“Namun kerajaan sudah menggerakkan proses pembenihan awan di Sarawak hari ini dan sekiranya keadaan awan sesuai, ia akan dimulakan secepat mungkin,” katanya seperti dipetik portal Berita Harian, hari ini.

Katanya, langkah pembenihan awan bagi mengatasi jerebu itu diputuskan Kabinet semalam mengambil kira keadaan jerebu yang semakin serius dan berbahaya. 

Bee Yin dalam pada itu turut mengulangi pendirian bahawa masalah jerebu rentas sempadan yang berlaku dalam negara ini adalah berpunca daripada pembakaran hutan di Indonesia. 

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penafian berulang kali Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar bahawa republik itu adalah penyebab utama masalah jerebu rentas sempadan. 

“Penafian (Siti Nurbaya) itu mungkin kerana beliau tidak merujuk laman sesawang Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) berpusat di Singapura, yang bukan sahaja diiktiraf di peringkat antarabangsa dan digunakan negara serantau termasuk Malaysia bagi merujuk isu jerebu termasuk punca dan arah tiupan angin.

“Malah data laman sesawang itu secara jelas memberi perincian punca jerebu yang berlaku sekarang ini adalah dari Indonesia,” katanya. – Roketkini.com