Berita

Kerajaan PH beri lebih tumpuan pada pembangunan Sarawak, Sabah

Sarawak dan Sabah akan diberi tumpuan yang lebih dari segi pembangunan oleh Kerajaan Pusat, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Katanya, usaha ini adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama yang baharu diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kita perlu beri tumpuan lebih kepada Sarawak dan Sabah supaya rakyat di negeri-negeri ini akan dapat layanan sama dengan Semenanjung,” katanya seperti dilapor media di Sarawak, semalam. 

Dr Mahathir turut mengakui bahawa kedua-dua negeri berkenaan masih kurang diberi tumpuan berbanding negeri-negeri di Semenanjung. 

“Kita dapati kerajaan sebelum ini tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada negeri Sarawak. 

“Kalau kita bandingkan kita lihat keadaan di Sarawak ini yang kaya dengan minyak tetapi pembangunan tidak diagih sama rata antara rakyat di negeri Sarawak sendiri dan antara Sarawak dan Semenanjung,” ujarnya. 

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, dasar baharu Wawasan Kemakmuran Bersama diperkenalkan untuk melihat agihan kekayaan dilakukan secara adil dan saksama.

“Kita nak kemakmuran bersama ini dicapai pada penghujung usaha kita, bukan di permulaan… kali ini kita ingin tentukan yang kurang bernasib baik diberi peluang hanya dengan syarat mereka dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini, bukan untuk menjual lesen dan kontrak (yang diberikan) tetapi mereka akan berusaha sendiri.

“Malangnya mereka tidak berupaya dan tidak ada kemahiran. Untuk ini kita akan betulkan dengan cara memberi latihan, pengajaran tentang pengurusan wang mereka, tentang perniagaan mereka supaya bila dapat peluang, mereka tidak perlu jual kepada orang kaya, sebaliknya akan guna peluang itu untuk tingkat pendapatan mereka. Dengan itu jurang miskin dan kaya akan berkurangan,” katanya.

Beliau turut berharap semua rakyat dapat memberikan sokongan terhadap dasar baharu berkenaan. 

“Kalau kita beri peluang tetapi mereka tak ingin berusaha tingkatkan kebolehan mereka maka keadaan sediakala ini akan berterusan, tetapi kalau mereka sanggup kerja kuat melatih diri dan beramanah tidak menjual segala peluang, Insya-ALLAH mereka akan tingkatkan kejayaan sendiri.

“Kita telah berjaya menyusun dan memahami bagaimana ‘shared prosperity’ ini dapat dicapai. Ini semua kita akan dapat lakukan kerana kerajaan ini memang berminat untuk memperhambakan diri kepada rakyat tetapi rakyat juga harus menyambut cadangan ini supaya ia berjaya,” katanya. – Roketkini.com