Rencana

Kembali bermula

Oleh Liew Chin Tong

(Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan dan ahli Dewan Negara)

Berpuluh tahun lamanya kita berjuang untuk menumbangkan Barisan Nasional. Suatu tempoh masa yang lama juga akan diambil untuk membaiki kerosakan yang telah dilakukan oleh BN dan Datuk Seri Najib Razak. Memang tidak ada jalan pintas.

Tidak ramai yang betul-betul mengetahui bagaimana kita mampu menumbangkan kelptokrasi dan politik perkauman Najib. Ramai yang hanya mengundi pada hari pilihan raya, dan perubahan terjadi sekelip mata. Bagi mereka yang mahu mengetahui bagaimana kita sampai ke tahap ini, tontoni dokumentari hebat yang sedang ditayangkan di pawagam – ‘M for Malaysia’.

Menitis air mata sambil lagu ‘Bermula Kita’ nyanyian Yuna berkumandang di akhir ‘M for Malaysia’. Dokumentari yang serius dan agak menghiburkan ini mengingatkan kita bahawa pada 9 Mei 2018, jutaan rakyat Malaysia telah mencipta sejarah.

Ia hanya dapat terjadi akibat perdamaian secara besar-besaran antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak didik yang bertukar musuhnya; Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta antara penyokong Mahathir dan juga tapak sokongan DAP.

‘M for Malaysia’ merakam kesukaran perdamaian. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan ramai lagi, menjadi mangsa Ops Lalang pada Oktober 1987. Anwar Ibrahim pula menjadi mangsa pada tahun 1998. Dokumentari ini secara jelas memperlihatkan derita dan kesakitan yang ditanggung.

Namun pada 2016, pemimpin-pemimpin yang sama telah berhadapan suatu pilihan yang mustahil: bersatu dan berdamai atau terus melihat Najib memerintah selama-selamanya sehingga habis negara dirompak.

Mahathir, Anwar, Kit Siang dan yang lain-lain secara berani telah memilih untuk berdamai. Ada antara kita yang telah lupa betapa kita di Pakatan Harapan telah begitu berputus asa. Namun kita menangani cabaran-cabaran itu, sambil para pemimpin meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri.

‘M for Malaysia’ menghidangkan kisah yang begitu menyentuh hati ini; tentang menyulam sebuah gabungan yang mustahil, dan segala kepayahan yang terkait dengannya.

Melihat babak Saifuddin Abdullah memberitahu khalayak di Hotel Sheraton bahawa PH telah cukup 112 kerusi untuk membentuk kerajaan di layar perak membawa begitu banyak emosi. Kita telah berjaya melakukannya. Kita menang, meski saya tewas di kerusi yang saya tandingi.

Malaysia telah diberi nafas baharu dan permulaan yang baharu melalui peti undi. Setitis darah pun tidak tumpah. Banyak yang telah berubah, tidak kira kecil ataupun besar.

‘M for Malaysia’ mengingatkan saya tentang kesukaran yang telah kita lalui untuk menekan butang ‘reset’ ini. Marilah kita sama-sama menghargai permulaan baharu ini dan melakukan yang terbaik, demi seluruh rakyat Malaysia. Jika kita putus asa sekarang, kita akan menyesal selama-lamanya. – Roketkini.com