Berita

Tindakan akan diambil terhadap syarikat ladang Malaysia sumbang jerebu

Tindakan akan diambil terhadap mana-mana syarikat perladangan Malaysia di Indonesia yang terlibat dalam melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan jerebu dan turut menjejaskan negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

“Kabinet hari ini berbincang mengenai jerebu. Kita juga mahu mengambil tindakan terhadap syarikat Malaysia yang ada estet di luar negara yang menyumbang kepada jerebu hasil pembakaran estet itu.

“Kita akan minta mereka turut ambil tindakan padamkan api. Jika syarikat Malaysia itu tidak mahu mengambil tindakan itu, kerajaan mungkin akan gubal undang-undang supaya mereka bertanggungjawab jika membuat pembakaran terbuka di tanah mereka walaupun ia di luar Malaysia,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Mahathir, kerajaan sentiasa mencari cara terbaik bagi menangani masalah jerebu yang saban tahun berlaku. 

“Antaranya menerusi pembenihan awan, meminta rakyat berada dalam rumah dan tutup sekolah, ini pendekatan yang kita sudah ambil.

“Kita perlu mencari cara kurangkan jerebu menerusi cara kita sendiri, selain pembenihan awan, mungkin boleh sembur air di tempat tertentu untuk kurangkan jerebu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa telah membangkitkan perkara itu kepada menteri Indonesia. 

“Namun, perkara ini (masalah jerebu) sudah dibangkitkan pihak kita kepada Menteri Indonesia, tetapi mereka kata jerebu dari Malaysia, bukan Indonesia.

“Kerana itu kita terutama agensi kerajaan perlu membuat hebahan yang kerap, mengeluarkan imej satelit menunjukkan lokasi titik panas,” katanya. – Roketkini.com