Berita

Draf Akta Jerebu Rentas Sempadan akan dirangka selepas dapat kebenaran kabinet – Bee Yin

Draf Akta Jerebu Rentas Sempadan akan dirangka selepas mendapat “lampu hijau” daripada Kabinet, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin.

Menurut Bee Yin, ia telah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet semalam dan akan mengambil tindakan segera mewujudkan akta tersebut sebaik sahaja mendapat persetujuan Kabinet. 

“Kementerian bersedia mendraf akta ini jika Kabinet putuskan terdapat keperluan menggubal akta itu.

“Akta ini adalah untuk mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang telah mengakibatkan jerebu di luar negara bukan sahaja di Indonesia tetapi di luar negara,” katanya seperti dipetik Bernama selepas melawat Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang hari ini.

Undang-undang yang akan diperuntukkan dalam akta itu antara lain memberi kuasa untuk menghukum pihak dari Malaysia yang mempunyai ladang di luar negara yang menyebabkan jerebu supaya diadili di mahkamah Malaysia.

“Saya akan mendapatkan nasihat daripada peguam negara bagaimanakah kita boleh mendraf akta ini dan apakah yang kita boleh masukkan bagi menjadikan ia efektif untuk menangani isu jerebu,” katanya. – Roketkini.com