Berita

MP DAP tawar bantuan pada pelajar susah

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa pelajar di peringkat pengajian tinggi yang mengalami kesulitan kewangan agar tampil ke pusat khidmat beliau bagi mendapatkan bantuan. 

Beliau berkata demikian selepas mendengar kisah seorang pelajar Universiti Malaya (UM) terpaksa melakukan empat kerja sambilan untuk menampung kos kehidupan di bandar dan menyara keluarga.

“Orang seperti beliaulah yang wajar kita bantu kerana mereka tahu erti kesusahan hidup. Saya percaya terdapat ramai lagi yang menerima nasib seperti beliau, terpaksa membuat pelbagai kerja sambil belajar.  

“Bagi memenuhi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat Kepong, saya menggesa pelajar berkenaan dan anak muda dari Kepong yang sedang menuntut di universiti atau kolej yang mengalami nasib serupa untuk tampil ke pejabat saya.

“Saya akan memberi bantuan sebanyak mungkin kepada mereka yang benar-benar layak supaya mereka dapat menyelesaikan pengajian tanpa merasa tertekan dan bimbang soal kewangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Beliau yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi membantu pelajar yang mengalami masalah kewangan. 

“Pada masa sama, pihak yang bermurah hati untuk membantu boleh menghubungi pejabat saya supaya kita boleh aturkan satu bentuk biasiswa, sama ada separa atau penuh, untuk diberikan kepada pelajar-pelajar ini,” ujarnya. – Roketkini.com