Berita

KPN bidas tindakan gelar lelaki ditembak mati sebagai syahid

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador membidas tindakan individu mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab berhubung kejadian polis menembak mati lelaki yang menetak dua rakan sekerjanya di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Meskipun tidak menamakan individu berkenaan, beliau dipercayai merujuk kenyataan Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi dalam satu ceramah di Kubang Kerian, Kelantan, yang menyifatkan kematian lelaki terbabit sebagai syahid. 

Beliau juga telah mengarahkan polis untuk membuka kertas siasatan dan akan memanggil pihak terbabit untuk diambil keterangan. 

“Berhubung kes di Pulau Pinang, ada lagi orang yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan fatwa dia sendiri mensyahidkan orang tersebut. Ini satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya mengambil berat perkara ini sebab sekiranya apa yang dikatakan itu, orang itu mati syahid, jadi apa pula kedudukan anak buah saya yang telah menembak untuk menyelamatkan keadaan, apakah kedudukan pegawai-pegawai saya yang mengambil tindakan tersebut, kafir ke?” katanya seperti dipetik Bernama. 

Sebelum ini Abdul Hamid menegaskan akan mengambil tindakan tegas dan menahan mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan dan menularkan artikel berkenaan kejadian itu yang dianggap menyebabkan ketegangan kaum di negara ini. 

Beliau turut mengesahkan suspek tembak mati itu telah terpengaruh dengan klip video keganasan dari Timur Tengah.

Dalam pada itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Wanita DAP Pulau Pinang berhubung kenyataan Nurul Amal yang disifatkan sebagai sangat berbahaya. 

“Dia mendakwa insiden amok yang berlaku pada Isnin lalu adalah disebabkan oleh seseorang kononnya menghina Islam. 

“Ini tidak masuk akal sama sekali kerana ketua polis negara telah menegaskan kes ini tidak ada kaitan dengan isu kaum atau agama,” kata ahli jawatankuasa Wanita DAP Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid. 

“Polis harus mengambil tindakan segera untuk menghentikan perkara ini kerana kita melihat begitu pemimpin di Malaysia yang menyebarkan retorik perkauman dan ini amat berbahaya kepada negara pelbagai kaum di mana keamanan dan perpaduan kita harus dipelihara,” tambahnya. – Roketkini.com