Berita, Rencana

Kalah bukan bererti tewas

Oleh Hafiz Zainuddin

(Tulisan ini kali pertama diterbitkan dalam buku bertajuk Tokoh: Jatuh Bangun Veteran DAP)

Pada 1976,  tokoh Johor, Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga menggantikan Tun Abdul Razak yang meninggal dunia. Sementara itu, dalam senyap-senyap, seorang lagi anak Johor mencatatkan sejarah tersendiri apabila menubuhkan sebuah cawangan ‘Melayu DAP’ yang pertama di negerinya, iaitu di Kampung Padang Sari, Batu Pahat. Anak tempatan itu namanya Ahmad bin Ton atau lebih dikenali dengan Ahmad Ton, nama yang penting walau kurang dikenali ramai generasi masa kini, sepanjang penglibatannya secara aktif 40 tahun bersama DAP. Saya mesra memanggilnya Pak Ahmad sahaja.

Siapa sebenarnya Ahmad Ton? 

Beliau yang kini berusia 67 tahun sebenarnya pernah bertanding tujuh kali dalam Pilihanraya Umum, serta memegang pelbagai jawatan di peringkat kebangsaan dan negeri, termasuk Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dan Naib Pengerusi DAP Johor.

Dalam pertemuan saya di rumahnya di Batu Pahat, beliau kelihatan sedikit uzur namun ceria dan bersemangat meski pertuturannya tidak serancak sembang panjang saya sebelum ini dengan beliau sewaktu kempen Pilihanraya Umum bagi kawasan Parlimen Tanjung Piai pada 2013. Beliau diserang angin ahmar pada Hari Raya keempat Syawal 2016.

 Jiwa melawan

 Retro 1970-an bukan sahaja nostalgia tentang seluar ‘bell bottom’ atau ‘pallazo’, bukan sekadar berkumandangnya lagu ‘Dancing Queen’ bawaan Abba atau ‘Antara Matamu dan Mataku’ dendangan Uji Rashid; ia juga merupakan era perlawanan terhadap sistem kapitalisme acuan Amerika Syarikat yang bangkit daripada semangat mahasiswa global, termasuk di Malaysia. Kebangkitan mahasiswa di Malaysia pula banyak berkait dengan semangat mereka mahu menghubungkan perjuangan luar bandar, khususnya petani dan nelayan. Hasil kerjasama mahasiswa-orang kampung adalah kebangkitan Baling di Kedah, Teluk Gong di Selangor, dan Tasik Utara di Johor. 

Bagi orang yang melawan seperti Ahmad Ton, ini adalah saat penting perisytiharan ‘rasmi’ beliau untuk bangkit menentang ketidakadilan. Beliau melawan kerana pengkhianatan dan pembohongan pemimpin UMNO yang berlaku terhadap masyarakat di kampungnya pada ketika itu. “Tanah orang kampung, pemimpin UMNO jual kepada orang lain,” gagah Pak Ahmad dalam bicaranya kepada saya yang perlahan dan tersekat-sekat; dan sedetik, perasaan saya diselubung sedih bercampur rasa hormat, beliau masih kental melawan. Saya bangga.

Perbualan saya dengannya turut disertai anak sulungnya Mohd Yusof, 36, yang kini Pegawai Yayasan MARA Johor dan isteri pertamanya, Misbah binti Hussein, 61. Kami bertandang  terus ke rumahnya di Kampung Padang Sari, Batu Pahat selang beberapa hari selepas temu janji. Menurut Yusof, sebelum menjadi ahli DAP, ayahnya bersama masyarakat kampung gigih memperjuangkan sebidang tanah untuk dibangunkan bagi kepentingan penduduk. Pada awalnya, pemimpin UMNO setuju tanah itu diserahkan bagi kegunaan masyarakat tetapi apa yang berlaku sebaliknya, pemimpin UMNO itu telah menjualnya kepada pihak ketiga dan mengaut keuntungan.

Kesal dengan pengkhianatan dan sikap tidak endah pemimpin itu terhadap kepercayaan yang diberi penduduk kampung, Pak Ahmad, yang pernah memegang jawatan Setiausaha UMNO Cawangan Tiga Serumpun (meliputi Kampung Padang Sari, Parit Awang, Parit Salam dan Parit Lapis Batu Puteh, Simpang Lima) membulatkan tekad dan meletak jawatan. 

Tubuh cawangan DAP di kampung, diboikot lima tahun

Tindakan meletak jawatan itu mungkin boleh dijangka sesiapa, namun apa yang mengejutkan, Ahmad Ton menubuhkan cawangan DAP di Padang Sari sekitar tahun 1976 dengan keahlian kira-kira 30 orang, dan menjadikan rumahnya sendiri sebagai bilik gerakan. Ia merupakan pengisytiharan rasmi beliau untuk meneruskan perjuangan membela masyarakat dan mengembalikan keadilan.

Menyedari sikap orang Melayu tentang DAP, saya bertanya, “Kenapa memilih DAP sedangkan ada parti pembangkang yang lebih ramai orang Melayu seperti PAS?” Jawab beliau: “Kerana DAP orang perjuangan.” Bukan suatu yang aneh apabila kepimpinannya dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP 1989 digandingkan dengan ramai tokoh-tokoh parti seperti Lim Kit Siang, Ahmad Nor, Fadzlan Yahya, P. Patto, Peter Paul Dason, Hu Se Pang, Chen Man Hin, dan ramai lagi.

Namun, penglibatan langsung beliau bersama DAP yang sentiasa diserang propaganda Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional sebagai ‘parti cauvinis Cina’, ‘anti-Melayu’ dan ‘anti-Islam’ telah membawa rasa dukacita buat ayah kepada lapan orang anak ini. Menurut Puan Misbah, keluarganya merasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku selepas suaminya menyertai DAP. Pada tahun itu, rombongan marhaban selepas sembahyang Hari Raya Aidilfitri tidak singgah ke rumah mereka seperti tahun-tahun sebelumnya. Begitu juga dengan kedai runcit yang diusahakan keluarga, tidak dikunjungi orang kampung. Keadaan itu berlaku sepanjang lima tahun seterusnya.

Malaysian Malaysia

Dalam satu wawancara eksklusif oleh akhbar The Rocket edisi Bahasa Malaysia, Ahmad Ton pernah berkata misi Malaysian Malaysia adalah misi yang betul kerana tanpa misi ini, Malaysia tidak akan maju ke hadapan. Pembinaan negara perlu melibatkan seluruh kaum dalam negara ini supaya nikmat dan kemakmuran ekonomi dapat dirasai secara adil supaya tidak ada kelompok masyarakat tertinggal. Sekaligus, jurang miskin dan kaya yang sering dikaitkan dengan sentimen perkauman dapat dibendung dan perlahan-lahan hilang.

Beliau berkata, meskipun Barisan Nasional melaungkan slogan-slogan berkonsepkan ala ‘Malaysian Malaysia’, ia hanya indah khabar dari rupa. Seperti juga Slogan 1Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini sudah tidak dipedulikan kerana dipenuhi dengan pentadbiran yang tidak bersih, korup, salah guna kuasa dan zalim.

“Ia umpama slogan palsu apabila digunakan hanya untuk menutup segala kelemahan berikutan isu perkauman yang melanda negara. Hanya mahu menunjuk kepada negara luar. Prinsip DAP ketika ditubuhkan pada 1966 ialah Malaysian Malaysia. DAP memang mahu mewujudkan satu rupa bangsa dalam pelbagai wajah-berbilang kaum,” jelas beliau. 

Sumbangan kepada parti dan masyarakat

Penglibatan beliau bersama DAP merupakan cabaran besar kepada beliau untuk mengemudi parti di Johor. Dengan fitnah dan stigma 13 Mei 1969 yang masih kuat masa itu, suka atau tidak, beliau meneruskan usaha untuk mengembangkan DAP di seluruh Johor kerana yakin bahawa perjuangan DAP yang mengangkat tema keadilan, kesaksamaan dan kebebasan merupakan aspirasi sebenar yang perlu dihayati seluruh rakyat Malaysia.

Selain jawatan Pengerusi DAP Cawangan Kampung Padang Sari, sekitar tahun 1977, beliau diberi amanah menjawat sebagai Setiausaha Organisasi Luar Bandar.  Pada tahun 1981, sewaktu menjawat Setiausaha DAP Negeri, sebanyak 30 buah cawangan DAP telah bergerak aktif dengan keahlian sekurang-kurangnya 30 peratus di kalangan kaum Melayu. Selain dirinya sendiri, antara tokoh-tokoh Melayu yang dikenali dalam DAP Johor antaranya ialah Khalid Halim di Kluang dan Abdullah Abdul Hamid yang berpusat di Tampoi. Pada 1982, DAP Johor terus memperlihatkan penerimaan rakyat negeri itu apabila beberapa cawangan baharu ditubuhkan dengan peningkatan keahlian sehingga 400 orang. Antara cawangan tersebut ialah di Johor Bahru, Bukit Pasir (Muar), Pontian Kecil dan Bukit Batu (Kulai). 

Tahun yang sama juga Ahmad Ton menjadi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peserai, Johor dalam Pilihan Raya Umum ke-6 tahun 1982 menentang pencabar dari UMNO Ridzuan Salim namun tewas dengan majoriti 9,363 undi. 

Riak gelombang keras politik tanah air terutamanya sebelum dan selepas beberapa insiden seperti Operasi Hapus di Memali tahun 1985 dan Operasi Lalang 1987 yang menyaksikan sebahagian besar pemimpin utama DAP diletakkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjadikan beliau lebih bersemangat untuk membela nasib mereka yang dizalimi. Walaupun beliau tidak bertanding dalam PRU 1986, kepimpinannya tetap dihargai parti. Dalam Kongres DAP 1989, beliau dilantik menjadi anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Persahabatan dalam parti

Ahmad Ton dikenali sebagai seorang yang baik, lemah lembut dan tidak berkira tak kira di mata kawan mahupun lawan. Beliau mudah mesra dengan sesiapa jua. Beliau bersahabat baik dengan seorang rakan DAP bernama Gan Ah Liang. Saya difahamkan Ahmad Ton merupakan orang yang bertanggungjawab membawa Gan Ah Liang menyertai DAP.

“Gan Ah Liang selalu datang rumah, minum teh, berbincang bersama dan selalu bawa ayah keluar kalau ada program atau ceramah-ceramah,” ujar Yusof. 

Gan Ah Liang merupakan ayah kepada Gan Peck Cheng yang mula menceburi politik dan bertanding dalam pilihan raya sejak tahun 1990. Hanya setelah melalui enam Pilihanraya Umum, pada tahun 2013 Gan Peck Cheng yang sememangnya seorang wanita yang cekal akhirnya memenangi kerusi DUN N.23 Penggaram dalam Parlimen Batu Pahat menewaskan calon MCA mewakili Barisan Nasional. Kini Gan Peck Cheng merupakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Johor.

Selain itu, Ahmad Ton juga bertanggung jawab membawa beberapa lagi pimpinan DAP menyertai parti dan salah seorang dari mereka adalah bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau yang memenangi DUN N.48 Skudai dalam Pilihanraya Umum 2008 dengan majoriti besar. Dari kaca mata Dr. Boo, Ahmad dianggapnya sebagai seorang yang telah bertungkus lumus berkhidmat untuk DAP dan rakyat sepanjang 36 tahun penglibatannya. “Sepanjang masa, Ahmad Ton adalah seorang yang rendah diri dan putih hatinya. Sejak saya mengenali beliau, dia adalah seorang yang mudah berpuas hati walaupun dijamu dengan roti kosong dan teh O,” ujarnya dalam satu kenyataan pada 2012.

Hampir setiap kali Hari Raya Aidilfitri, ramai wakil-wakil rakyat Parlimen dan DUN Johor akan bertandang ke rumah menziarahinya. Persahabatan, kepimpinan dan jasa baik Ahmad Ton tidak sama sekali dilupakan. Selain pimpinan Johor, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga datang ke Padang Sari memenuhi jemputan perkahwinan anaknya pada Syawal lalu. Beliau juga dilawati oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang ke jamuan rumah terbukanya.

Tiga kali berdepan gergasi politik BN

Bagi Bangsa Johor yang mengikuti perkembangan politik Ahmad Ton pasti tahu beliau merupakan sosok yang komited dan pantang menyerah. Dalam PRU 1990, beliau bertanding melawan calon BN, iaitu Dr Ling Liong Sik yang merupakan Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan di Parlimen Labis, walaupun tewas dengan 5,225 undi. Undi yang beliau peroleh adalah 12,485. Dalam PRU 1995 pula, kerusi Labis masih menjadi taruhan DAP dengan sekali lagi meletakkan Ahmad Ton melawan Dr Ling sebagai penyandang. Namun, pertembungan tersebut tetap tidak memihak kepada DAP yang tewas dengan majoriti yang lebih besar kepada BN.

Politik negara kembali berkocak dengan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1998 yang membawa kepada gelombang Reformasi. Menjelang PRU 1999, parti-parti politik pembangkang telah bekerjasama untuk tidak menentang antara satu dengan yang lain. 

Dalam kemelut pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang terpalit kronisme dan nepotisme, nasib masih tidak menyebelahi Ahmad Ton dalam PRU 1999 tersebut. Sekali lagi, pesaingnya Dr Ling berjaya mengatasi beliau, juga dengan majoriti yang besar untuk kerusi Parlimen Labis.

Era pasca-Mahathir

Meskipun tewas dalam beberapa pilihan raya yang dilaluinya, gerak kerja mengembangkan sayap parti tetap diteruskan. Pada 2004, beliau diberi amanah menggalas tanggungjawab yang lebih besar sebagai Pengerusi DAP Negeri Johor. Tahun 2004 boleh dianggap tahun yang getir dan mencabar kepada pembangkang setelah Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan dengan timbalannya Abdullah Ahmad Badawi. Dengan imej ‘bersih’, Abdullah membawa slogan Islam Hadhari – amalan agama yang sederhana – yang diharapkannya menarik sokongan rakyat kepada BN.

Dalam PRU 2004, imej ‘bersih’ Abdullah serta ‘kegembiraan’ rakyat selepas tamatnya era Mahathir telah membawa rakyat untuk memberi mandat baru kepada BN. DAP mengalami kekalahan yang agak teruk, termasuk gagal memenangi sebarang kerusi di Johor. DAP bertanding di enam daripada 26 kerusi Parlimen, dan 12 daripada 56 kerusi DUN. Ahmad Ton yang turut bertanding sekali lagi, tewas di DUN N.6 Bekok. Beliau mendapat 3,050 undi berbanding lawannya daripada BN yang memperolehi 9,521 undi.

Tuah dan dugaan PRU 2008

Persona kepimpinan Abdullah tidak lama. Meski memiliki gaya kepimpinan yang sederhana, mesra dan berimej bersih, beliau gagal untuk melaksanakan segala janji pembaharuan kerajaan daripada rasuah. Walaupun tanpa sebarang gabungan rasmi, parti-parti pembangkang telah berjaya mencapai kata sepakat dalam soal pembahagian kerusi. Mereka bersetuju untuk memastikan hampir kesemua kerusi yang ditandingi adalah satu-lawan-satu dengan BN. Kerjasama ini berjaya mencatat sejarah apabila pembangkang membentuk kerajaan baru di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang serta mempertahankan Kelantan dalam PRU 2008 pada 8 Mac. Malah, majoriti dua pertiga BN di Parlimen akhirnya berjaya dinafikan. Malah,  kejayaan besar pembangkang – yang menubuhkan Pakatan Rakyat pada 1 April 2008, iaitu selepas PRU tersebut – telah memaksa Abdullah melepaskan jawatannya pada 3 April 2009.

Namun ‘tsunami’ politik itu tidak dirasai di semua negeri. Johor umpamanya masih menjadi deposit undi untuk BN dalam PRU 2008. Ahmad Ton yang merupakan Naib Pengerusi DAP Johor pada masa itu telah bertanding di dua  kerus, masing-masing bagi Parlimen Tanjong Piai dan DUN Pekan Nenas. Beliau bagaimanapun tewas di kedua-dua kerusi tersebut. Bagi kerusi Parlimen, beliau mendapat 10,931 undi manakala lawannya BN 23,302 undi. Bagi kerusi DUN pula, beliau memperolehi 8,973 undi berbanding BN 12,297 undi. 

Walaupun begitu, pencapaian DAP di Johor agak baik berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila memenangi empat kerusi DUN di Bentayan, Mengkibol, Skudai dan Senai, serta melahirkan Ahli Parlimen sulung pilihan raya itu bagi kerusi Bakri.

Bakti kepada komuniti

Semangat untuk berkarya mencurah bakti kepada masyarakat tidak hanya berlegar dalam lingkungan parti politik. Di antara tahun 1980-an hingga 1990-an beliau aktif dalam persatuan-persatuan belia tempatan, menjadi juruaudit bagi Pertubuhan Peladang di kawasannya, memegang jawatan Naib Pengerusi Persatuan Peniaga Melayu dan Bumiputera Batu Pahat, terlibat langsung dalam PEMADAM Daerah Batu Pahat, dipilih sebagai Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Padang Sari, Pengerusi Khairat Kematian Padang Sari, Ahli Jawatankuasa Badan Muafakat Sekolah Agama Mampan dan terlibat dalam PIBG Sekolah Menengah Dato’ Onn Simpang Lima.

Misbah berkata, suaminya sering keluar mengikuti program parti tetapi setelah serangan angin ahmar tahun ini, semua aktiviti politiknya tidak dapat dipenuhi. Saya hanya mengangguk-angguk, faham kepada apa yang melanda. Saya bertanyakan Pak Ahmad tentang minat dan penyertaan orang Melayu khususnya golongan muda ke dalam DAP. Sedikit letih, beliau menunjukkan isyarat tanda OK, itu adalah perkembangan yang positif bukti penerimaan orang Melayu terhadap DAP semakin menyerlah.

Dalam sebuah wawancara akhbar The Rocket edisi Bahasa Inggeris pada 2011, Ahmad Ton pernah menyatakan antara faktor yang menjadi sebab penerimaan masyarakat Melayu masih perlahan terhadap DAP adalah kerana kesedaran politik. Beliau memberi contoh dalam satu ceramahnya suatu ketika dahulu bahawa UMNO yang ada saat ini bukanlah UMNO yang asli yang ditubuhkan pada 1946, dan beliau melihat sebahagian audiens seolah-olah kebingungan tidak tahu tentang fakta tersebut.

Wawancara ringkas itu juga turut menyentuh isu-isu berkaitan masyarakat Melayu di Johor. Masalah kemiskinan merupakan realiti yang melanda sebahagian masyarakat Melayu di Johor sedangkan ia merupakan salah sebuah negeri yang kaya di Malaysia berbanding negeri lain. Isu pengangguran dikalangan muda-mudi Melayu wajar menjadi keutamaan, katanya. Antara yang menjadi kegusaran beliau adalah berhubung isu pemilikan tanah seperti yang pernah berlaku di Kampung Baru Plentong Tengah (KBPT) dan skim FELDA di Masai ketika itu.

“Apa yang berlaku ialah pihak berkuasa telah menjual tanah yang telah dibersihkan oleh pemilik asal tanpa dimaklumkan atau tanpa memberi mereka hak milik,” jelasnya mengulangi bahawa masyarakat Melayu perlu mempunyai kesedaran politik yang tinggi supaya hak-hak mereka terbela dan tidak dipandang ringan oleh pihak berkuasa.”

Tegas mendidik keluarga

Di mata anak sulungnya, Ahmad Ton tegas dalam mendidik keluarga. Dengan pengalaman menguruskan perniagaan kedai runcit yang menjadi sumber rezeki keluarganya ketika itu, serta kepimpinan yang ditonjolkan dalam politik, ia sedikit sebanyak telah mencetuskan minat kepada Yusof yang pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Padang Sari dan Timbalan Majlis Belia Johor. “Walaupun berlainan ideologi, konsep kepimpinan sama sahaja. Parti-parti yang ada hari ini semua mahukan sesuatu yang baik. Bagi saya, parti apapun, asalkan tak langgar undang-undang dan Perlembagaan negara, sah diterima pendaftar pertubuhan, maknanya ia layak untuk berkarya,” ujar beliau.

Tindakan ayahnya keluar UMNO, bagi Yusof, merupakan protes dan pemberontakan jiwa terhadap apa yang tidak disetujui. Baginya, hubungan kekeluargaan tetap terjalin walaupun berbeza idealisme perjuangan dalam parti politik. Bagi isterinya pula, beliau sentiasa memberi dorongan dan sokongan terhadap apa yang dilakukan suaminya. Menurut Puan Misbah, politik dan kesedaran politik itu amat penting dalam sesebuah negara dan beliau tidak mempunyai masalah jika suaminya aktif berpolitik. Ibu kepada tujuh orang anak itu turut berkongsi kebimbangannya dengan suasana politik Malaysia dan menyarankan supaya anak-anak muda perlu menyemai semangat juang dan berpegang pada ajaran agama.

Hasil perkongsian hidup Ahmad Ton dengan Misbah, mereka dikurniakan dengan tujuh orang cahaya mata. Selain Yusof sebagai anak sulung, yang lain adalah anak kedua Amad, ketiga Siti Hadijah, keempat Mohd Isa, kelima Siti Aminah, keenam Siti Fatimah dan ketujuh Siti Sarah. Manakala perkongsian dengan isteri keduanya, Aishah Md Tab, telah melahirkan anak kelapan Siti Maimunah. Kini, tiga anaknya menetap di Batu Pahat, selebihnya menetap di Melaka dan Shah Alam.

Menurut Yusof lagi, sikap boikot orang kampung terhadap keluarga mereka pada zaman awal penyertaan ayahnya dalam DAP akhirnya reda apabila ada sedikit keterbukaan. Kini, hubungan keluarganya dan masyarakat kampung tidak lagi diselubungi insiden sedemikian lagi. Mungkin masyarakat Johor kini semakin memahami perjuangan DAP.

Kesinambungan perjuangan

Kemasukan dan penerimaan muda mudi Melayu terhadap DAP adalah hasil perjuangan orang-orang lama yang tidak jemu berhujah. Dengan perkembangan teknologi maklumat, sebaran publisiti terhadap parti semakin mudah dan meluas. Nama-nama pemimpin DAP di kalangan kaum Melayu seperti Zairil Khir Johari, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji, Dyana Sofya, Dr. Ariffin SM Omar, Dr. Abdul Aziz Bari, Datuk Mohd Ariff Sabri, Young Syefura dan yang lain merupakan kesinambungan kepimpinan terdahulu.

Bagi Pak Ahmad, pencapaian ini amat-amat dibanggakan kerana kaum Melayu semakin berani menyatakan pendirian, terbuka dan memiliki kesedaran politik. Tiada yang lama, tiada yang baru – pepatah yang sering kita dengar menggambarkan betapa pentingnya penglibatan pemimpin-pemimpin terdahulu membangun dan mengukuhkan organisasi. Tidak terkecuali, beliau adalah salah seorang daripada mereka.

Tahun 2016, genap 40 tahun beliau bersama DAP mengharungi segala suka duka perjuangan yang menjadi darah dagingnya. Sambil membelek-belek fail dan foto-foto lama yang disimpan baik, sosok tubuhnya menginspirasi golongan muda seperti saya. Segalanya tentang istiqamah dan kerja keras. Ya, saya tidak boleh menafikan perasaan saya yang sedih kerana beliau tidak pernah memenangi sebarang kerusi dalam tujuh kali penyertaannya dalam pilihan raya. Sangat jarang kita dengar tentang pemimpin yang sanggup mengharungi zaman tetap pendirian meski tidak pernah menang sebarang kerusi.

Beliau adalah tokoh yang perlu dijadikan contoh. Berpolitik bukan untuk jawatan, tetapi kerana kepuasan memberi khidmat, berkarya untuk masyarakat dan negara. Jasanya kepada parti dan perkembangan DAP di Johor perlu menjadi teladan dan dihargai. – Roketkini.com