Berita, Rencana

Kawasan teras Melayu baharu

Oleh Liew Chin Tong

(Pengarah Pendidikan Politik DAP, Pengerusi DAP Johor dan Timbalan Menteri Pertahanan)

Salah satu mitos politik yang popular di Semenanjung Malaysia adalah kepercayaan bahawa orang Melayu adalah penduduk luar bandar manakala kawasan bandar adalah wilayah orang Cina dan India. Dengan melanjutkan logik ini, penduduk di kawasan bandar dianggap kaya manakala penduduk di kawasan luar bandar adalah miskin, justeru itu kaum Cina dan India yang berpusat di bandar adalah kaya manakala kaum Melayu yang berpendapatan rendah adalah miskin.

Ini sangat tidak benar. Kawasan teras Melayu yang baharu adalah Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur, Desa Mentari, demikian banyak kawasan teres, pangsapuri kos rendah dan sederhana di Ampang, Bangi, Gombak, Kajang, Shah Alam, dan banyak lagi ibu negeri dan bandar-bandar besar di semenanjung.

Melayu urban kini menjadi penentu pilihanraya dalam cara yang diketahui pemimpin politik tetapi masih belum dapat diperakui sepenuhnya. Ahli politik juga belum mengintegrasikan realiti demografi ke dalam dasar awam, terutamanya dalam pemikiran kita tentang ekonomi.

Buat masa ini, dasar awam nampaknya tidak memahami masyarakat bandar di Malaysia secara mencukupi, oleh itu keperluan dan aspirasi orang Melayu bandar tidak diberi perhatian yang mencukupi.

Seorang rakan saya dengan gigih berusaha untuk membawa rakan-rakan “gelembung Bangsar” beliau untuk melawat kampung-kampung di Johor, Perak dan Pahang untuk melihat “kawasan teras Melayu”. Beliau terkejut apabila saya memberitahunya bahawa kawasan teras Melayu yang baharu letaknya di Kampung Kerinchi.

Jurang bandar-luar bandar

Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya di bawah pentadbiran Najib memutuskan untuk menetapkan hari mengundi bagi pilihan raya umum 2018 pada hari Rabu, dan bukan hari Sabtu seperti selalu, jelas bahawa kerajaan Barisan Nasional ketika itu mengetahui tentang trend mengundi mereka yang tinggal di kawasan bandar tetapi akan pulang membuang undi mereka di kampung halaman masing-masing.

Pemimpin Barisan Nasional mengetahui bahawa pengundi ‘swing’ yang tinggal di Kuala Lumpur, Singapura, Johor Bahru, Pulau Pinang dan bandar-bandar utama lain akan menentukan keputusan pilihan raya, dan oleh itu mereka harus dihalang daripada kembali ke kampung halaman untuk mengundi.

Seperti sebahagian besar dunia yang lain – Jepun, Australia dan Amerika Syarikat – komuniti pertanian di kawasan luar bandar lebih bergantung kepada subsidi dan sokongan daripada kerajaan, oleh itu biasanya lebih menyokong kerajaan. Parti-parti Barisan Nasional telah berakar umbi di kawasan luar bandar sebagai jentera yang berorientasikan perkhidmatan dan sehinggakan kerusi-kerusi disempadankan bagi memberat kepada kawasan luar bandar.

Tetapi demografi menyentap realiti daripada perkiraan sedemikian. Situasi telah berubah.

Contohnya, apabila saya bertanding di kerusi Parlimen Kluang pada tahun 2013, saya memberitahu pekerja kempen untuk memaklumkan saya tentang keadaan trafik pada malam hari mengundi. Terdapat banyak kereta pulang ke Kluang pada hari itu. Saya memberitahu pasukan saya saya yakin menang ekoran faktor pengundi bandar yang pulang untuk mengundi.

Satu lagi contoh ialah apabila pihak berkuasa air Johor (SAJ) terpaksa bekerja lebih keras pada musim perayaan tertentu. SAJ adalah salah satu daripada beberapa agensi kerajaan yang memberikan saya laporan tentang operasi mereka ketika kami masih bergelar pembangkang. Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa SAJ terpaksa mengepam air dalam jumlah yang besar ke dalam tanah-tanah rancangan FELDA dan kampung-kampung apabila ribuan penduduk bandar “balik kampung” untuk Hari Raya.

Sebagai konteks, saya bergurau bahawa pada hari minggu, usia purata di bandar dan kampung di tengah dan utara Johor adalah 55 tahun, manakala pada hujung minggu ia menjadi 35, dan pada musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina atau Deepavali usia puratanya adalah 15!

Satu lagi contoh ialah sekolah-sekolah di bandar-bandar kecil melihat bilangan pelajar mereka menurun secara drastik dalam tempoh dua dekad yang lalu.

Kaitan bandar-luar bandar

Apabila saya membuat keputusan pada Januari 2018 untuk bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam yang separa bandar, pasukan saya telah menjalankan suatu kajian kualitatif yang menyeluruh yang menemuramah mereka yang tinggal di kampung, serta anak-anak mereka yang menetap di Kuala Lumpur.

Jelas wujud ‘ekonomi kiriman wang’ yang berlaku antara bandar dan luar bandar Malaysia, terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

Pada masa itu, keresahan ekonomi terhadap kerajaan Najib boleh disimpulkan seperti berikut: 

  1. Belanjawan Persekutuan dipotong secara besar-besaran pada 2015, 2016 dan 2017 ekoran krisis minyak pada bulan Oktober 2014 yang menyaksikan kejatuhan harga minyak sebanyak 30%; elaun penjawat awam dipotong, program makanan sekolah dipotong, subsidi dipotong, menyebabkan kemarahan meluap-luap.
  2. GST dilaksanakan pada April 2015; menjejaskan pendapatan boleh guna isirumah yang sudah pun terhad, justeru menambah kemarahan tersebut;
  3. Apabila harga minyak turun, harga komoditi terutamanya minyak sawit turun.

Ramai keluarga yang lebih tua yang tinggal di Ayer Hitam memberitahu penyelidik kami bahawa mereka berhadapan dengan dua musibah – harga minyak sawit turun pada ketika anak-anak mereka di kawasan bandar turut bergelut untuk menyara diri sendiri, justeru mengurangkan wang yang dikirim ke kampung.

Orang muda yang menetap di Kuala Lumpur sementara mengundi di Ayer Hitam mengadu bahawa mereka berasa malu kerana terpaksan mengurangkan kiriman wang kerana mereka sendiri berdepan kos sara hidup yang tinggi akibat GST serta pasaran yang tidak bersemangat memandangkan ramai yang mengurangkan perbelanjaan mereka. Kelompok ini merasa terhina dengan kemewahan dan korupsi besar-besaran Najib Razak dan isterinya Rosmah.

Hubungan bandar-luar bandar adalah lebih simbiotik daripada yang disedari ramai, dan kesedaran itu mempunyai akibat politik yang besar.

Menyusun semula strategi

Seorang pemimpin UMNO yang berfikir pernah memberitahu saya bahawa jika diberi peluang, beliau akan melakukan aksi berlawanan dengan saya dengan bertanding di salah satu kerusi parlimen Kuala Lumpur. Beliau secara tersirat menyatakan bahawa beliau tahu kekuatan Pakatan Harapan berada di kawasan bandar, dan untuk memenangi kuasa, Pakatan harus terus meneroka masuk ke kawasan separa bandar; manakala kekuatan Umno berada di kawasan luar bandar, jadi untuk memenangi kuasa, ia harus menang kawasan bandar dan separa bandar.

Daripada 20.07 juta penduduk Bumiputra seluruh negara (termasuk Sabah dan Sarawak), 13.93 juta Bumiputra tinggal di kawasan bandar, yang bermaksud 69.37% daripada Bumiputra adalah penduduk bandar. Jika kita hanya melihat statistik untuk Semenanjung Malaysia, peratusan itu seharusnya lebih tinggi.

Sudah tiba masanya untuk kita mengiktiraf bahawa Kampung Kerinchi dan kawasan-kawasan lain yang sama dengannya adalah kawasan teras Melayu yang baharu, kerana akibat politik dan kesejahteraan daripada pemahaman sedemikian adalah sangat meluas.

Melampaui politik, demi supaya dasar awam di Malaysia dapat bergerak ke hadapan, satu halangan utama yang perlu kita tempuhi adalah untuk melihat orang Melayu kebanyakannya adalah penduduk bandar. Inilah dia realiti kawasan teras Melayu yang baharu. – Roketkini.com

*Terjemahan tulisan asal, “The new Malay heartland”, disiarkan New Straits Times: https://www.nst.com.my/opinion/columnists/2019/09/525690/new-malay-heartland