Berita

Kenapa TV3 tak siarkan ulasan Nie Ching dalam Bahasa Malaysia?

Seorang pemimpin DAP menegur pihak TV3 yang dilihat membuat permohonan maaf secara sambil lewa kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching tanpa menjelaskan perkara sebenar kepada penontonnya.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata demikian merujuk permohonan maaf TV3 menerusi Buletin Utama semalam, berhubung penyiaran ulasan oleh Nie Ching dalam Bahasa Mandarin yang mengundang kritikan ramai pihak.

“TV3 tidak menjelaskan kepada penonton bahawa Nie Ching, terlebih dahulu sebenarnya, telah memberikan kenyataan dalam Bahasa Malaysia (BM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Lip Eng, kegagalan pihak TV3 merakam dan menyiarkan kenyataan Nie Ching dalam Bahasa Malaysia adalah tidak boleh diterima. 

“TV3 perlu menjelaskan dengan tuntas kepada orang awam dan memohon maaf dengan lebih baik kepada Nie Ching, melainkan mereka ada agenda tertentu,” katanya.

Nie Ching sebelum ini menyifatkan TV3 bersifat tidak adil terhadap beliau kerana menyiarkan ulasannya dalam dalam Bahasa Mandarin sedangkan beliau turut memberikan ulasan dalam Bahasa Malaysia.

Jelasnya, beliau sememangnya mengulas dalam Bahasa Malaysia sebelum diminta oleh wartawan NTV7 untuk mengulangi kenyataannya itu dalam Bahasa Mandarin. – Roketkini.com