Berita, Rencana

Bersama mempertahan jalan tengah Malaysia

(Ucapan oleh Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pada hari Sabtu 12 Oktober 2019, ketika menerima permohonan keahlian DAP di Iskandar Puteri, Johor, bersama Sdr Lim Kit Siang)

“Things fall apart; the centre cannot hold;….

 ….The best lack all conviction, while the worst

Are full of passionate intensity.”

  • W,B. Yeats, The Second Coming

Malaysia adalah sebuah masyarakat berbilang kaum, di mana yang Melayu dan yang bukan-Melayu sering berbeza dari segi persepsi, pandangan dan pengalaman masing-masing. Perbezaan ini selalunya dieksploitasi dan dipergunakan oleh sebilangan oportunis bagi melanjutkan agenda politik mereka.

Pun begitu, Malaysia masih terus bersatu. Melampaui perbezaan kaum, kita sebenarnya banyak persamaan. Kebanyakan kita – Melayu, India, Cina, Iban, Kadazandusun – mempunyai aspirasi untuk memiliki kehidupan, pekerjaan, pendapatan, perniagaan dan pendidikan yang lebih baik. Kebanyakan kita inginkan peluang mempertingkatkan diri, demi masa depan sendiri dan anak cucu masing-masing.

Sekiranya kita benar-benar peduli tentang kebersamaan dalam kepelbagaian; perbezaan bahasa, agama dan budaya bukanlah suatu beban tetapi merupakan kekuatan dan kekayaan, yang tidak semestinya dijadikan punca masalah.

Selepas 13 tahun kempen perkauman UMNO berjalan, sejak Hishammuddin Hussein menghunus kerisnya pada Julai 2005 yang menandakan pergerakan UMNO ke kanan (dalam spektrum politik), rakyat Malaysia dari segenap golongan etnik telah bersatu padu menolak kerajaan kleptokratik Najib Razak pada pilihan raya umum 2018.

Kebanyakan pimpinan Pakatan Harapan menyedari bahawa risikonya amat tinggi, terutamanya selepas tewas dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada bulan Mei 2016 dan dalam pilihan raya kecil berkembar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada bulan Jun 2016.

Dengan keadaan PAS bekerjasama dengan UMNO melalui pertembungan tiga penjuru dan bermain sentimen kaum serta agama, seluruh kepimpinan pembangkang pada waktu itu menyedari bahawa mereka mesti bekerjasama atau berdepan kehancuran.

Musuh yang nyata pada ketika itu adalah Najib, dan wujud satu tujuan untuk melawan kleptokrasi. Berdepan segala kemustahilan, rakyat Malaysia telah menang pada 9 Mei 2018.

Namun hari ini sentimen awam kian merudum. Dengan segala pembohongan dan berita palsu, termasuklah yang dilakukan oleh mereka yang mendakwa agamawan dan mereka yang sedang berdepan pertuduhan rasuah besar-besaran di mahkamah, ada sebilangan rakyat yang mula membenci kerajaan.

Persepsinya kini adalah kedua-dua Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP dipersalahkan oleh orang Melayu dan bukan-Melayu. Kuat juga suara-suara ini, terutamanya di media sosial.

Di dunia nyata, media kita yang bebas – kerana kerajaan Pakatan Harapan tidak berkeinginan untuk mengawal media – masih terjerat dalam cara lama untuk membingkai segalanya dalam definisi perkauman.

Kalaulah pihak media boleh menggunakan kebebasan yang baru dicapai ini untuk mencipta, mempromosi dan menumpukan kepada semangat ke-Malaysia-an rakyat Malaysia, berbanding bermain permainan kaum yang begitu bahaya. Ke-Malaysia-an di sini maksud saya ialah menolak rasisme dan tafsiran agama secara sempit, mendakap kepelbagaian, menekankan kepentingan ekonomi dan kepentingan bersama, dan menghentikan politik kebencian.

Demi memastikan gabungan besar-besaran ini berjaya; kita mesti berfikir sebagai sebuah bangsa, dan menumpukan kepada kepentingan bersama sebagai sebuah negara; bukannya kepentingan sebagai Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban secara sempit.

Supaya Malaysia berjaya di persada antarabangsa, kita memerlukan rakyat Malaysia yang berfikir secara Malaysia; agar mereka dapat berada di barisan hadapan dalam usaha membentuk negara ini ke arah yang lebih baik.

Supaya kita semua yang mahu melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berkeyakinan dan berdiri sama tinggi dalam komuniti antarabangsa, kita mestilah bersama-sama mengerah segenap tenaga untuk memastikan jalan tengah Malaysia tidak berpecah.

Atas semangat ini saya dan Sdr Kit Siang mengalu-alukan penyertaan 89 rakyat Malaysia menganggotai DAP. Kita telah berdialog dengan begitu baik bersama sebahagian daripada mereka, dan setelah itu Sdr Flevin Tan bin Ismael telah menyerahkan borang permohonan ahli kepada Sdr Kit Siang bagi pihak yang lain. Dengan suntikan keanggotaan dan tenaga baharu untuk parti, saya yakin bahawa perubahan positif yang kita perjuangkan akan beroleh kemenangan.

“The only thing necessary for the triumph of evil is for good men to do nothing.” Satu sahaja keperluan untuk kejahatan beroleh kejayaan, ialah apabila orang baik-baik tidak berbuat apa-apa. Mereka yang percaya dengan projek Malaysia memerlukan keazaman dan keyakinan, jika tidak; “the worst with passionate intensity” (seperti tulisan Yeats) akan mendominasi. – Roketkini.com